Penyelewengan: Kerajaan Kedah Kumpul Bukti Dahulu

NOOR FAIZAL GHAZALI
4selewengDatuk Mukhriz Tun Mahathir

ALOR SETAR 4 Februari - Kerajaan negeri sedang mengumpul maklumat mengenai kemungkinan berlaku penyelewengan ketika pentadbiran Pas sebelum mengambil tindakan lanjut.  

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika mendapati maklumat memadai untuk dijadikan kes, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan dijemput untuk melihatnya sama ada menyalahi undang-undang.

"Kalau fakta yang ada itu membuktikan berlaku penyelewengan, khususnya salah guna kuasa dan SPRM merasakan ia patut disiasat, kes akan dibawa ke mahkamah," katanya kepada media selepas menerima tajaan sempena program Malam Mahabbatur Rasul Kedah Berselawat, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Merujuk kepada kenyataannya sebelum ini, Mukhriz berkata, tafsiran sama ada ia satu ugutan atau tidak bergantung kepada rasa bersalah atau sebaliknya.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar tidak perlu bimbang mengenai kewujudan penyelewengan ketika zaman pentadbiran Pas di negeri ini kerana siasatan akan dilakukan secara mendalam sebelum mengambil tindakan.  

Menurutnya, Mahfuz mungkin melihat isu itu sebagai satu taktik politik tetapi tidak kepada kerajaan negeri kerana ia membabitkan ketelusan, soal tadbir urus yang baik dan integriti.

"Jadi kalau setakat politik, bercakap saja... lepas itu siasat dan berhenti setakat itu saja."

"Saya kira kalau dah terbukti berlaku penyelewengan siasatan mesti sampai ke penghujung. Kita belum dapat pastikan perkara ini selagi siasatan itu tak berjalan," katanya.

Sebelum ini, Mukhriz berkata tidak teragak-agak membuka fail projek bawah kerajaan PR terdahulu jika terus ‘diserang’ pembangkang yang seolah-olah mahu menggambarkan kerajaan BN dipenuhi dengan amalan korupsi.

Sementara itu, Mahfuz yang juga Pesuruhjaya Pas Kedah dalam ceramah Isnin lalu, mendesak Mukhriz mendedahkan sebarang bentuk penyelewengan yang wujud sepanjang pemerintahan Pas di negeri itu.

Sumber: Sinar