Dua Musim Tanam Padi Kawasan Mada Dibatal

24padiMenteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepengunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

PENDANG 24 Februari - Dua musim penanaman padi dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dibatalkan bagi membolehkan kerja pemulihan tanah jerlus dijalankan di kawasan sawah seluas 6,962 hektar. 

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembatalan dua musim itu melibatkan 29 blok pengairan di 12 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dalam Parlimen Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Kubang Pasu, Jerai serta Arau dan Kangar di Perlis.
 
"Projek berkenaan akan mula dilaksanakan Mac ini dan dijangka berakhir Februari 2015. Petani terlibat ialah seramai 3,877 orang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan kepada petani yang terjejas akibat kemarau di Kampung Bendang Raja, Kubur Panjang dekat sini hari ini.

Beliau berkata, pembatalan musim itu akan membolehkan kerja-kerja pembinaan dan pembaikan sistem saliran dilaksanakan selain merehatkan kawasan bermasalah bagi mengembalikan semula kekuatan struktur tanah.
 
"Tanah di kawasan tanah jerlus terlalu lembut, tak boleh dimajukan. Air perlu dikeluarkan dan tambah tanah supaya tanah itu boleh digunakan," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan telah meluluskan wang ihsan berjumlah RM36.8 juta untuk diagihkan kepada setiap petani terbabit yang akan menerima RM2,645.50 bagi setiap hektar sawah yang dibatalkan musim penanaman.
 
Pihak Mada telah mengenal pasti sawah seluas 8,107 hektar menghadapi masalah tanah jerlus dalam kawasannya sejak 2012 dan telah berjaya memulihkan 1,145 hektar sawah yang terjejas dengan kos RM4.77 juta.
 
Difahamkan dengan pembatalan itu, Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) akan dihentikan kepada petani di kawasan terlibat selama dua musim.
 
Dengan pelaksanaan projek pemulihan tanah jerlus itu, masalah dihadapi petani akan dapat diatasi dan dapat mengelak kehilangan pendapatan yang dianggarkan bernilai RM105.2 juta setahun.

Sumber: Bernama