Pasang CCTV Di rumah Jika Mampu

Oleh OPAT RATTANACHOT
24cctvBerdasarkan beberapa kes sebelum ini, pemasangan CCTV banyak membantu polis menjalankan siasatan di premis bersebelahan yang berlaku jenayah - AHMAD IBRAHIM Ketua Polis Kedah

SUNGAI PETANI 24 Februari - Polis menggalakkan orang ramai memasang sekurang-kurangnya dua unit kamera litar tertutup (CCTV) di rumah sekiranya berkemampuan bagi tujuan keselamatan diri sendiri dan jiran tetangga.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, pemasangan CCTV merupakan inisiatif berkesan bagi mencegah kejadian tidak diingini seperti jenayah selain membantu polis menjalankan siasatan.

"Berdasarkan beberapa kes sebelum ini, pemasangan CCTV banyak membantu polis menjalankan siasatan di premis bersebelahan yang berlaku jenayah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara beberapa syarikat swasta dengan Polis Diraja Malaysia bagi menggalakkan pemasangan CCTV premis perniagaan (Safecam Partnership) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Kuala Muda merupakan daerah pertama di negeri ini yang dilengkapi dengan program Selfcam Partnership bagi tujuan mengurangkan jenayah.

Katanya, melalui program itu, pihak swasta akan membantu memantau kegiatan jenayah yang berlaku di sekitar premis perniagaan mereka dan menyalurkan maklumat segera kepada polis untuk tindakan.

"Kita berharap program sebegini akan diperluaskan ke daerah-daerah lain dalam tempoh terdekat," katanya.

Tambah beliau, setakat ini, antara premis yang dilengkapi dengan program CCTV Selfcam Partnership adalah Hotel Park Avenue (150 unit); Pasar Raya Besar Econsave Patani Jaya (80 unit); Econsave Bandar Puteri Jaya (96 unit) dan Kompleks Village Mall (140 unit).

Turut terlibat adalah Stesen Minyak Caltex Lagenda Heights, Kompleks Central Square dan beberapa premis 7-Eleven.

Sumber: Utusan