ROSLINDA HASHIM
ALOR
SETAR 18 Februari - Tindakan kerajaan negeri mendaftarkan Maktab Mahmud
sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) adalah untuk manfaat
pelajar dan guru, dan yakin perubahan itu akan meningkatkan kredibiliti
kerajaan negeri, bukan sebaliknya.
Exco
Pendidikan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, dakwaan pihak tertentu
yang mengaitkan tindakan itu dengan kredibiliti kerajaan negeri adalah
tidak relevan, malah proses pendaftaran berjalan lancar.
“Saya
andaikan kredibiliti kerajaan negeri akan dilihat lebih tinggi kerana
kita berusaha meletakkan Maktab Mahmud ke tahap yang lebih cemerlang.
Lembaga Maktab Mahmud sepakat dan mohon permohonan diteruskan,” katanya,
selepas menyerahkan surat hasrat mewakili Lembaga Maktab Mahmud kepada
Ketua Sektor Kemajuan Sekolah Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Shamsul
Shah Tarjo, semalam.
Menurutnya,
pendaftaran akan dibuat sejurus surat berkenaan diserahkan, dan
pihaknya menjangkakan memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani
dalam tempoh empat bulan.
“Hari
ini kita muktamadkan persetujuan daftar 10 Maktab Mahmud dengan
Kementerian Pelajaran. Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim memberi perkenan
10 Januri lalu,” katanya.
Tajul
Urus berkata, Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Sekolah Agama Negeri (SAN)
yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai SABK dan ditadbir
bersama oleh Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) berdasarkan persefahaman
ditandatangani.
“Dalam
hal ini, silibus dan ko-kurikulum dikekalkan mengikut model Maktab
Mahmud, dipersetujui Ahli Lembaga dan guru. Status quo Lembaga Maktab
Mahmud dan Maktab Mahmud daerah didaftarkan sebagai SABK adalah kekal
seperti sedia ada. Perkara berkaitan dengan aspek teknikal akan
dimuktamadkan dalam MoU,” katanya.
Menurutnya,
dua lagi Maktab Mahmud di Alor Setar dan Yan akan terus berada bawah
pembiayaan kerajaan negeri, berikutan prestasi akademik dan pembangunan
fizikal memuaskan.
“Kita
pilih 10 Maktab Mahmud itu untuk membolehkan kerajaan persekutuan
memberikan bantuan dan sumbangan yang lebih baik meliputi perjawatan,
perkhidmatan, kewangan, kurikulum dan ko-kurikulum,” katanya.
Tajul Urus berkata, antara manfaat mendaftar SABK, termasuk penjimatan perbelanjaan kerajaan negeri sebanyak RM26 juta setahun.
“Perbelanjaan
Lembaga Maktab Mahmud setahun sebanyak RM39 juta. RM26 juta setahun
boleh disalurkan kepada pembangunan syiar Islam yang lain antaranya
pembinaan masjid, surau dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, pelajar turut berpeluang mendapat pendidikan berkualiti iaitu Kurikulum Dini (Azhari) yang akan diselaraskan.
“Proses
untuk jadikan sebagai Kurikulum Kebangsaan sedang dibuat. Kementerian
merancang untuk menjadikan Kurikulum Dini (Azhari) sebagai Kurikulum
Kebangsaan bermula tahun ini,” katanya.
Tajul
Urus berkata, pelajar juga dapat mengikuti kelas Kemahiran Membaca dan
Menghafaz Al-Quran (KKQ) dianugerahi Sijil Kemahiran Membaca dan
Menghafaz Al-Quran (KKQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan
dan diiktiraf Darul Al Quran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim).
“Pelajar
berpeluang menyertai aktiviti ko-kurikulum di semua peringkat. Markah
ko-kurikulum diperlukan untuk kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi
(IPT). Jawatan guru dan kakitangan secara kekal dan diserap ke dalam
perkhidmatan kerajaan serta berpeluang menikmati kemudahan dan kelayakan
seperti sekolah arus perdana,” katanya.
Menurutnya,
manfaat lain termasuk mendapat sumbangan modal dan bantuan, tanah dan
bangunan kekal milik sedia ada serta nama sekolah dikekalkan.
“Sekolah
akan menerima guru terlatih mengikut norma perjawatan seperti Guru
Kemahiran Membaca dan Menghafaz Al-Quran (KKQ), Guru Data dan Guru
Kaunselor. Gaji guru ganti dibuat mengikut Pekeliling Perkhidmatan
Bilangan 3 Tahun 2011,” katanya.
Sumber: Sinar