Polis Marin Rampas 4,000 Liter Diesel Subsidi

16marin

ALOR SETAR 16 Februari - Polis Marin berjaya menumpaskan satu lagi kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi selepas menahan dua lelaki bersama 4,000 liter diesel bernilai RM8,000 di Kampung Sematang Pinang, Kuala Kedah, di sini kelmarin.

Kedua-dua lelaki berumur 27 tahun dan 31 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.40 petang semalam ketika mereka sedang memindahkan minyak diesel dari bot nelayan kelas B ke sebuah lori bermuatan enam tan yang telah diubahsuai.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Kedah/Perlis, Asistan Komisioner Rozi Abu Hassan berkata, beliau bersama tiga anggota melakukan serbuan setelah menerima maklumat daripada orang awam dan melakukan risikan selama tiga hari.

"Hasil siasatan kita mendapati kedua-dua lelaki ini telah menjalankan kegiatan tersebut selama dua tahun dan dianggarkan mereka mampu meraih pendapatan kira-kira RM4,000 hingga RM5,000 sehari.

"Bekalan diesel yang diperoleh daripada nelayan sekitar Kuala Kedah ini disyaki untuk diedarkan bagi pasaran sekitar daerah ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Rozi berkata, pihaknya turut merampas lori, bot nelayan dan empat unit peralatan mengepam minyak yang digunakan untuk kegiatan tersebut.

Katanya, kegiatan yang dilakukan dua lelaki itu berkemungkinan didalangi oleh sindiket.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber: Utusan