BUKIT
KAYU HITAM 1 Januari - Kedah menyasarkan 5.4 juta pelancong asing
mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).
Anggota
Exco negeri Aminuddin Omar berkata beliau yakin sasaran itu boleh
dicapai berikutan persiapan dan promosi yang dibuat pelbagai agensi
pelancongan negeri dan persekutuan, khususnya Tourism Malaysia.
Katanya
selain pulau peranginan dan bebas cukai terkenal, Langkawi, yang bakal
menjadi pilihan utama pelancong, destinasi pelancongan lain di negeri
ini juga diramal menjadi tumpuan ramai pelancong berikutan pelbagai
program menarik yang disusun untuk menarik kehadiran mereka.
Beliau
berkata sebahagian besar ketibaan 2.8 juta pelancong asing ke negeri
ini pada tahun lepas direkodkan di pintu masuk utamanya iaitu Lapangan
Terbang Antarabangsa Langkawi, Terminal Feri Kuah dan Kompleks
Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.
"Sasaran
5.4 juta itu juga berdasarkan perkembangan semasa serta faktor
keselamatan dan keamanan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas
menyambut kedatangan pelancong sempena pelancaran TMM 2014 di ICQ Bukit
Kayu Hitam, hari ini.
Menurut
Aminuddin, insiden pengeboman di Danok, Sadao dan Padang Besar,
Thailand yang bersempadan dengan Malaysia baru-baru ini juga akan
mendorong pelancong asing memilih negara ini sebagai destinasi
pelancongan.
Katanya
kalendar TMM 2014 Kedah bermula dengan sambutan ulang tahun keputeraan
Sultan Kedah pada 19 Januari, manakala satu daripada tiga Muzium Padi di
dunia yang terletak di Alor Setar dan Lembah Bujang, yang merupakan
antara tapak tamadun tertua di dunia, akan dieksploitasi sepenuhnya
untuk menarik pelancong.
"Saya,
bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan tahniah dan syabas kepada
Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen, Kastam dan agensi-agensi yang
selama ini bekerjasama erat dan bekerja kuat meneruskan komitmen
bersepadu bagi menjayakan TMM 2014," katanya.
Sementara
itu, seorang guru dari Taiwan, Elise Wang, 32, yang ditemui disini
berkata beliau sangat teruja sejak pertama kali menjejakkan kaki di
Kuala Lumpur pada 27 Disember lepas.
Katanya
selepas dua hari berada di Kuala Lumpur, rombongan 36 pelancong Taiwan
yang disertainya berlepas ke Hatyai dan hari ini mereka kembali ke
Malaysia untuk melawat beberapa tempat menarik di Kuala Lumpur selama
dua hari lagi.
Rakan senegaranya, Chen Yi Chien, 55, pula berkata ini kali ketiga beliau berkunjung ke Malaysia.
"Saya
sangat sukakan keadaan di sini kerana rakyat dan budaya masyarakatnya
yang pelbagai. Makanan pula sedap-sedap belaka," katanya sambil
menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke Langkawi.
Sumber: Bernama