Oleh ABD. RAZAK OSMAN
TAJUL Urus Mat Zain menyampaikan bantuan elaun sara hidup nelayan kepada Roziah Ahmad di Sungai Petani, Kedah, semalam.
SUNGAI
PETANI 30 Disember - Seramai 840 nelayan di kawasan Tanjung Dawai dan
Pantai Merdeka masing-masing menerima RM200 bantuan elaun sara hidup di
sini hari ini.
Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain
ketika berucap dalam majlis penyampaian itu berkata, wang tersebut
sedikit sebanyak boleh digunakan untuk membeli keperluan persekolahan
anak-anak.
"Masa depan anak-anak dalam bidang pelajaran perlu diberi keutamaan dan jangan belanja besar dari pendapatan harian," katanya.
Mengenai
dakwaan nelayan laut dan sungai tidak menangkap ikan secara serius
selepas menerima bantuan, termasuk bot, enjin dan pukat, Tajul Urus
berkata, pihaknya akan membuat pemantauan dengan kerjasama Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
Tanjung Dawai.
Dalam
pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai,
Abdullah Saad berkata, langkah kerajaan menghulurkan bantuan elaun itu
berjaya menceriakan setiap penerima kerana pendapatan golongan itu kini
terjejas ekoran laut bergelora sejak bulan Oktober lalu.
Menurutnya, pendapatan nelayan hanya akan kembali seperti biasa bermula bulan Februari ini.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Roziah Ahmad, 53, dari Kampung Teluk gembira dengan keprihatinan kerajaan tersebut.
"Sebagai
nelayan sungai sejak 10 tahun lalu, saya sanggup melakukan apa sahaja
dalam kerja-kerja menangkap ikan untuk mendapatkan wang.
"Bantuan ini sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban kami," katanya.
Sumber: Utusan