PENDANG
5 Januari - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan
perolehan berjumlah RM90 juta daripada sektor industri asas tani dan
bukan padi yang dikendalikan oleh agensi itu tahun ini.
Pengerusinya,
Datuk Othman Aziz berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai
bersandarkan kejayaan cemerlang MADA meningkatkan perolehan dalam sektor
berkenaan kepada RM81 juta tahun lalu berbanding cuma RM69 juta pada
2012.
Katanya,
antara prospek produk yang diyakini mampu membantu mencapai sasaran
tersebut ialah pengeluaran mangga Tobiar yang kian mendapat sambutan,
selain produk-produk yang akan diperkenalkan termasuk kraf tangan, buah
markisa dan cendawan shitake.
"Kita
ada produk yang baik. Kraftangan kita contohnya, berkualiti tinggi
serta unik kerana ada yang diperbuat daripada jerami padi. Sempena Tahun
Melawat Malaysia 2014, saya yakin kedatangan pelancong yang berbelanja
membeli barangan tersebut akan bertambah.
"Daripada
sudut asas tani, saya tiada masalah, malah berbangga dengan kualiti
produk dan pembungkusan, cuma kita perlu cari strategi betul untuk
menembusi pasaran dan penetapan harga," katanya kepada Utusan Malaysia
selepas mengadakan lawatan ke Ladang Mempelam MOA Inc Tobiar di sini
hari ini.
Yang
turut hadir Pengurus Besar MADA, Datuk Abdul Rahim Saleh; timbalannya,
Datuk Rosli Baharom dan Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan
Padi MADA, Zulkifli Romli.
Othman
menambah, pihaknya dalam masa sama turut menyasarkan untuk membangun
dan membimbing 2,500 usahawan berbanding cuma 2,309 orang tahun lalu.
"Daripada
2,309 orang itu, 1,801 adalah usahawan baharu iaitu mereka yang
berpendapatan RM2,000 ke bawah sementara 508 lagi merupakan usahawan
naik taraf iaitu yang berpendapatan RM2,000 ke atas.
"Sembilan
daripadanya memperoleh pendapatan lebih RM1 juta setahun tetapi kami
tidak akan berhenti di sini. Sedaya mungkin MADA akan terus melahirkan
usahawan-usahawan berjaya pada masa akan datang," katanya.
Sumber: Utusan