ALOR
SETAR 23 Januari - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan
Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah mendapati kebanyakan peniaga mematuhi arahan
meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka setelah Ops
Harga 2014 dilancarkan Isnin lalu.
Pengarahnya,
Sakri Salleh berkata, pihaknya juga mendapati harga barangan yang
dijual di pasar-pasar basah di negeri ini juga semakin stabil dan
pengguna tidak lagi merungut dengan kenaikan melampau harga barangan
keperluan.
"Sekarang
ini kita tengok rata-rata peniaga ikan, sayur, daging dan ayam telah
mempamerkan tanda harga pada barangan masing-masing.
"Peniaga
juga mula menjual ikan, ayam, sayur dan daging mengikut harga kawalan
ditetapkan di dalam Skim Kawalan Harga Sempena Tahun Baharu Cina,"
katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya,
pihak PPDNKK akan terus melakukan pemantauan agar peniaga meletakkan
tanda harga bagi memastikan tiada unsur penipuan melibatkan barangan
kawalan.
"Setakat hari ini tujuh peniaga telah disiasat di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Antipencatutan 2011.
''Jika didapati bersalah kita akan terus mendakwa mereka ke mahkamah bagi mengelak mengulangi kesalahan yang sama," jelasnya.
Tambah
Sakri, pengguna juga perlu melaporkan kepada pihak PPDNKK jika terdapat
peniaga melanggar peraturan yang telah ditetapkan.
Sumber: Utusan