Kedah Rancang Bina 20,000 Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR 24 Januari - Kerajaan Negeri Kedah merancang untuk membina 20,000 rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, demikian diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar tentang kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Kedah yang bergelut dengan tekanan hidup berikutan kenaikan kos sara hidup.

Komponen utama kesusahan mereka ialah harga rumah, tegas beliau.

"Kita juga merancang untuk membina 40,000 buah rumah lagi di Kedah dengan kerjasama pihak-pihak lain seperti Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan syarikat-syarikat swasta lain menjelang 2018," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian antara PR1MA dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kedah (PKNK) dan sebuah syarikat pemaju perumahan, SP Baiduri Sdn Bhd.

Hari ini PR1MA menandatangani satu memorandum persefahaman dengan PKNK bagi mengadakan kerjasama untuk mengenal pasti kewujudan tanah strategik di negeri itu untuk membina rumah PR1MA dan bertukar-tukar dokumen pembangunan dengan SP Baiduri untuk membina rumah di Sungai Petani.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata projek di Sungai Petani itu akan mengandungi lebih 1000 buah rumah di atas tanah seluas 44.4 hektar.

Beliau berkata ini adalah projek pertama di Kedah dan dijangka dilancarkan dalam dua hingga tiga bulan yang mengandungi rumah atas tanah yang terletak di lokasi strategik sekitar kawasan pasar raya besar, sekolah, klinik dan bank.

"Jenis rumah yang akan dibina oleh SP Baiduri ialah rumah berangkai dan rumah berkembar setingkat serta rumah berangkai dan rumah berkembar dua tingkat, yang dijangka berharga dari RM150,000 hingga RM250,000," kata Abdul Mutalib.

Katanya, PR1MA sedang meneliti bandar-bandar lain di Kedah untuk membina rumah PR1MA dalam masa terdekat ini, seperti Alor Setar, Kulim dan Langkawi.

Beliau juga berkata setakat ini anggota-anggota perbadanan itu telah meluluskan 45,000 buah rumah di seluruh negara dan kerja-kerja telah pun bermula di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, serta menyasarkan untuk melancarkan projek-projek sedia ada yang telah diluluskan tahun ini manakala pengundian akan diadakan sebulan atau dua bulan selepas pelancaran.

"Kami telah menerima kira-kira 340,000 permohonan dalam talian setakat ini, dan menyasarkan untuk meningkatkan usaha memenuhi mandat yang diberikan untuk membina 500,000 rumah PR1MA.

"Kami komited untuk membina rumah berharga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran meskipun kos bahan binaan semakin meningkat," tegas Abdul Mutalib.

Sumber: Bernama