Hanya Pembalakan Terpilih Dijalankan Di Kedah

balak
ALOR SETAR 22 Januari - Hanya pembalakan terpilih masih dijalankan di Kedah manakala pembalakan jenis 'cuci mangkuk' sudah dihentikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata tiada lesen pembalakan baharu dikeluarkan selepas 19 Mei 2013 iaitu seminggu selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

"Lesen yang dikeluarkan sebelum Barisan Nasional (BN) ambil alih (pentadbiran) Kedah terpaksa diteruskan, kerana kalau tarik balik lesen, boleh bayangkan apa jenis kes-kes mahkamah yang akan kita hadapi daripada syarikat-syarikat yang mendapat konsesi tersebut.

"Jadi kita tak patut terkejut melihat lori-lori balak yang masih keluar membawa balak kerana ini datang daripada konsesi pembalakan terpilih, maksudnya 'tagging" dah dibuat beberapa bulan atau setahun lebih dan pembalakan berlaku pada pokok-pokok terpilih.

"Saya tak pernah mengharamkan sepenuhnya (pembalakan) sebab pembalakan terpilih masih berlaku dan lesen keluar sebelum BN ambil alih," katanya kepadapemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negero di sini hari ini.   

Mukhriz mengulas dakwaan berlaku aktiviti pembalakan haram baru-baru ini di beberapa kawasan di Kedah hingga menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, katanya sekiranya terdapat lori-lori balak membawa muatan kayu-kayu yang bersaiz kecil, ia adalah daripada tanah persendirian dan bukannya membabitkan tanah kerajaan negeri.

"Mungkin orang persendirian ini nak buat pembangunan... walaupun (kayu) kecil, ada yang beli biasanya kilang yang buat cip, dia tak kira saiz pokok, dia potong kecik-kecil buat cip untuk pasaran tempatan dan eksport," katanya.

Selain itu, Mukhriz beliau berkata kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk meningkatkan pendapatan negeri melalui hasil pembalakan, sebaliknya akan melihat sumber alternatif yang lain.

"Kita perlu kreatif dan inovatif untuk mencari ini (sumber alternatif) dan saya percaya satu daripada yang berpotensi besar ialah pelancong...pulangannya sentiasa ada, ia bukan sesuatu yang anda labur sekali dan anda dapat pulangannya sekali sahaja, ia (pulangan) datang sepanjang tahun," katanya.

Sumber: Bernama