Maritim Malaysia Tahan Bot Pukat Tunda

maritim
PEGAWAI Operasi Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt. Madya Meor Hamzah Badrishah (dua dari kiri) memeriksa pukat tunda yang digunakan secara haram di Pangkalan Maritim Malaysia Kuala Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 10 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara berjaya menahan sebuah bot nelayan pukat tunda berhampiran pantai Kuala Sala di sini semalam kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Ketua Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia mula mengesan bot tersebut kira-kira pukul 8.35 pagi ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Beliau berkata, bot itu berjaya ditahan kira-kira pukul 8.45 pagi pada jarak 1.2 kilometer dari pantai Kuala Sala di sini dan turut ditahan semasa operasi tersebut ialah seorang warga tempatan yang berumur sekitar 30-an dan telah di bebaskan dengan jaminan polis.

"Aktiviti penggunaan pukat tunda di kawasan penangkapan di Zon A tidak di benarkan kerana banyak memberi kesan terhadap kemusnahan ekosistem di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mempunyai lesen, tiada nombor pendaftaran dan menggunakan peralatan yang tidak di benarkan (pukat tunda kecil)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Khairi, bot yang di tahan dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan serta pendakwaan dan kes itu akan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia memandang serius aktiviti -aktiviti nelayan yang menyalahi undang-undang Maritim dan akan terus meningkatkan rondaan di sekitar kawasan perairan negeri ini,"jelasnya.

Selain itu, katanya, pihak Maritim Malaysia juga memerlukan bantuan daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sumber: Utusan