Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
ALOR
SETAR 10 Januari - Harga ikan yang sebelum ini melambung di sekitar
negeri ini dijangka stabil ekoran jumlah bekalan bekalan tersebut
kembali pulih.
Pengarah
Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK)
negeri, Mohd. Sakri Saleh berkata, pemantauan dilakukan pihaknya
mendapati harga 'ikan rakyat' seperti kembung dan selayang dilihat
kembali pada paras normal iaitu sekitar RM4 sekilogram.
"Saya
akui sebelum ini memang berlaku kenaikan sehingga ikan kembung dijual
RM13 sekilogram. Begitu juga dengan barangan segar lain seperti ikan
selar putih, udang dan sayuran yang mengalami kenaikan sehingga 20
peratus.
"Bagaimanapun, tinjauan kami kelmarin mendapati keadaan sudah 80 peratus pulih disebabkan nelayan sudah kembali ke laut.
"Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga sudah memberi jaminan bahawa bekalan
ikan akan pulih sepenuhnya menjelang Mac apabila keadaan laut akibat
perubahan iklim pulih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini
semalam.
Sementara
itu, beliau mengakui terdapat khabar angin kononnya harga daging akan
meningkat sehingga RM30 sekilogram akibat kekurangan bekalan.
"Sebenarnya
perkara itu tidak berlaku. Apa pun, ada kemungkinan khabar angin itu
berpunca daripada peniaga juga kerana mereka bimbang dengan cakap-cakap
kononnya Thailand selaku pembekal lembu hidup terbesar ke negara ini
dikatakan mula beralih arah ke China ekoran harga ditawarkan lebih
tinggi," katanya.
Sumber: Utusan