Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
SURAYA
Yaacob (empat dari kanan) bersama wakil dari PPK yang menerima sijil
dalam Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di Alor
Setar, Kedah, semalam.
ALOR
SETAR 16 Januari - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah
memperuntukkan RM1.98 juta bagi membina enam Pusat Belian Padi di negeri
ini sejak 2011 dalam usaha menghapuskan peranan 'orang tengah' dalam
sektor padi.
Pengarah
LPP Kedah, Ismail Saleh berkata, pada tahun ini sebuah lagi Pusat
Belian Padi akan dibuka di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang
Serai dekat sini dengan peruntukan berjumlah RM300,000.
Katanya,
pusat tersebut dibina untuk memberi kemudahan pemasaran lepas tuai
kepada ahli PPK khususnya yang terbabit dengan Projek Mini Estet Padi
tanpa melalui orang tengah.
"Sekarang
tiga pusat belian padi telah beroperasi iaitu di PPK Kuala Muda
Selatan, Merbok dan Bandar Baharu, manakala tiga lagi pusat dalam
persediaan untuk operasi adalah di PPK Langkawi, Asun dan Pendang.
"Paling
baharu adalah Kilang Beras Kubur Panjang (KBKP) yang memperolehi semula
status Pusat Belian Padi daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas),"
katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas
di sini, hari ini.
Majlis
tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,
Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan,
Datuk Suraya Yaacob dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Bernas,
Mohd. Azmy Abu Samah.
Ismail
berharap, semua PPK dapat memberi kerjasama dengan Bernas bagi
melaksanakan operasi pembelian padi secara tidak langsung akan
mengurangkan risiko yang ditanggung PPK dalam menjalankan aktiviti ini
termasuk berdepan risiko kerosakan hasil tuaian.
Beliau
berkata, ahli PPK terdiri daripada petani memperoleh faedah menerusi
kerjasama dengan Bernas seperti menerima tawaran bayaran secara
bersepadu harga padi, subsidi dan komisen.
Katanya, pusat tersebut juga membuat bayaran kepada petani lebih cepat berbanding bayaran dibuat melalui orang tengah.
"Dalam
masa sama, kewujudan pusat ini yang berada dalam kawasan mereka juga
sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri
ini di mana petani datang terus ke pusat belian dan dapat menjimatkan
kos pengangkutan mereka.
"Saya
berharap supaya pusat belian padi PPK dengan persetujuan Bernas dapat
memindahkan padi ke KBKP mengikut keperluan bagi memenuhi sasaran Pelan
Perniagaan KBKP supaya matlamat pengeluaran padi 14,000 metrik per tan
setahun tercapai," katanya.
Sumber: Utusan