Haram Kerana Sekutukan Allah

Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR 17 Januari - Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) Kedah menegaskan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kerana tindakan itu jelas sebagai satu cubaan untuk menyekutukan Allah.

Pengerusi YPP1M Kedah, Sabri Osman berkata, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah satu perkara yang tidak logik dan tidak wajar disokong oleh umat Islam di negara ini.

"Adalah haram hukumnya bagi orang Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam dan kami minta rakyat negara ini agar jangan menyokong perkara tersebut.

"Kalau mereka masih ingin menggunakan juga kalimah Allah, mereka perlu mengucapkan kalimah syahadah terlebih dahulu dan kita tidak ada masalah jika mereka mahu menggunakan kalimah Allah selepas itu.

"Orang bukan Islam memang jelas telah menyekutukan Allah dan tidak munasabah untuk mereka menggunakan kalimah Allah," katanya kepada pemberita di Bangunan Tunku di sini semalam.

Sabri yang juga pengasas Madrasah Al-Ulum Al-Diniah Al-Osmaniah Pondok Tanjung Kapur, Jitra di sini berkata, kerajaan juga tidak perlu berlembut lagi dengan golongan bukan Islam yang terus mendesak untuk menggunakan kalimah Allah.

"Bukan masanya lagi untuk terus berlembut dengan golongan ini, saya sendiri sudah dua kali bercakap mengenai perkara ini.

"Kami minta kerajaan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang termaktub dan sekiranya tiada tindakan diambil maka kerajaan boleh disifatkan lemah dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah," ujarnya.

Tambah beliau, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam juga tidak seharusnya menjadi isu politik kerana ia melibatkan soal akidah umat Islam di negara ini.

"Soal akidah kita tidak boleh sentuh dan saya minta agar orang politik jangan mengambil kesempatan dalam isu ini.

"Pemimpin politik tanpa mengira parti perlu bersatu dan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini agar tidak ada lagi golongan bukan Islam yang berani menghina agama Islam," jelasnya.

Sumber: Utusan