Dua Kampung Bakal Dijadikan Kawasan IKS

KULIM 25 Januari - Dua kampung di sini iaitu Kampung Sungai Ular dan Batu Lintang bakal dimajukan untuk dijadikan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk kawasan itu.

Ahli Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, dua kampung tersebut didapati sesuai untuk dijadikan kawasan IKS memandangkan ramai penduduknya mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.

"Dengan kewujudan IKS di kampung ini, kita dapat mengelakkan belia berhijrah ke bandar untuk cari kerja.

"Kita ingin memastikan mereka yang mempunyai asas pekerjaan dalam bidang IKS terus berbakti kepada kampung dengan bekerja di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kulim, di sini semalam.

Sebanyak 40 kontinjen menyertai perarakan yang diketuai Pegawai Daerah Kulim, Mohd. Dhozir Mohd. Zain. Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan wang RM100 kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam perarakan terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Johan kategori NGO dimenangi oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kulim, tempat kedua, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lembu dan ketiga, Masjid Taman Kenari.

Sumber: Utusan