KEDA Rancang Buka Lebih Banyak Pasar Mini

28keda
ARFAN Saari (kanan) menyerah replika kunci dewan serbaguna kepada Mohd. Saidi Midin sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 28 Januari - Lebih banyak pasar mini serbaneka dikenali sebagai Slesa milik anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bakal beroperasi di seluruh negeri ini menjelang Februari.

Pengurus Besar KEDA, Datuk Arfan Saari berkata, dengan adanya pasar mini seumpama itu ia memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk membeli pelbagai barangan keperluan masing-masing.

Katanya, ketika ini dua pasar mini berkenaan dibuka di Alor Setar dan masing-masing satu di Sungai Petani, Kulim dan Serdang.

"Kita berharap orang ramai memberi sokongan sepenuhnya terhadap pembukaan pusat perniagaan barang kering itu," katanya kepada pemberita sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama daerah Bandar Baharu di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan kunci dewan serbaguna Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Selama di sini kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Mohd. Saidi Midin.

Dewan itu dibina oleh KEDA dengan kos RM185,000 dan siap kira-kira dua bulan lepas. Arfan berkata, banyak barangan berkualiti dikeluarkan oleh penduduk tempatan melalui projek industri kecil dan sederhana (IKS) bakal dijual di pasar mini berkenaan.

"Setiap pasar mini itu bernilai lebih kurang RM300,000 termasuk kos pembinaan dan penyediaan barang runcit," katanya.

Sumber: Utusan