367,376 Pelajar Dapat Bantuan Persekolahan

SUNGAI PETANI 28 Januari - Lebih RM36.7 juta wang bantuan awal persekolahan bagi tahun 2014 diagihkan kepada 367,376 pelajar di seluruh Kedah, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lebih 70 peratus daripada 730 buah sekolah telah selesai mengagihkan bantuan.

"Kesemua sekolah telah diarahkan agar mengagihkan wang berkenaan secepat mungkin. Kita menjangkakan semua sekolah akan agihkan wang RM100 kepada waris pelajar itu selewat-lewatnya esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajul Urus berkata, pada tahun ini, Kedah mendapat bantuan tambahan berjumlah RM660,800 ekoran berlakunya pertambahan jumlah pelajar seramai 6,608 orang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju menanggung semua kos pembinaan rumah mangsa kebakaran di Kampung Changhai, Jeneri, Sik dekat sini semalam.

Selain itu, katanya, keluarga tersebut juga akan dibantu dari segi keperluan harian dan makanan untuk tempoh yang bersesuaian. "Kerajaan negeri bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga itu. Kita akan mengambil langkah sewajarnya bagi membantu meringankan beban mereka terlibat," katanya yang turut melawat keluarga itu lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, seorang pelajar, Siti Aishah Hashanah Che Ani, 16, ditemui rentung di atas katil dipercayai terperangkap dalam biliknya. Turut cedera ialah abang mangsa, Mohd. Firdaus Che Ani, 19, yang melecur di bahagian belakang badan akibat ditimpa kayu yang terbakar.

Sumber: Utusan