Hormati Hak Eksklusif Umat Islam

Oleh SAFINA RAMLI hakislam
Tunku Annuar Sultan Badlishah (kiri) mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Mukhriz Mahathir sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke-86 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 19 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah, kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain.

Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan perlu dihormati.

"Dalam konteks masyarakat majmuk, sensitiviti agama khususnya Islam sebagai agama yang mendasari Persekutuan perlulah dihormati.

"Kekeliruan serta kontroversi boleh dielakkan jika peruntukan undang-undang dan keputusan penghakiman dipatuhi.

"Inilah resmi dan amalan seluruh masyarakat majmuk selama ini yang menjadi penyumbang kestabilan dan keharmonian seluruh rakyat negara ini," titah Seri Paduka.

Titah Seri Paduka itu dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah pada istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Yang turut berangkat pada istiadat itu ialah Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Seramai 114 menerima darjah serta bintang kebesaran sempena hari Keputeraan Sultan Kedah dan dalam majlis itu Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat DiHormati (S.P.M.K) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, tanpa kestabilan, perancangan pembangunan tidak boleh dijayakan dan tanpa adanya keharmonian hidup pasti negeri Kedah dan negara ini akan huru-hara.

"Dikhuatiri musuh-musuh dalam selimut beroleh peluang untuk melaksanakan agenda mereka, lantaran itu beta suka menyeru agar isu-isu agama, sensitiviti kaum yang berupaya menjadi ancaman wajar dielakkan.

"Asas Perlembagaan wajib dipatuhi selain Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dihormati," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menasihatkan agar fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah wajar ditolak demi memelihara kepentingan ummah.

"Ini bagi memastikan permusuhan serta peperangan sesama umat yang menghantui banyak negara misalnya di Iraq dan Syria dapat dielakkan," titah Seri Paduka lagi.

Sumber: Utusan