TAJUL
Urus Mat Zain (kiri) menyampaikan hamper dan angpau kepada warga emas
sempena Tahun Baharu Cina di Pekan Semeling, Merbok, Kedah, semalam.
SUNGAI PETANI 20 Januari - Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini cukup bermakna buat 200 warga emas dari Tanjung Dawai di sini apabila menerima sumbangan hamper dan angpau sempena perayaan itu.
Sumbangan itu dihulurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md. Zain dalam satu majlis di pekan Semeling dekat sini hari ini.
Tajul Urus berkata, bantuan itu diharap dapat menceriakan warga emas berkenaan untuk meraikan Tahun Baharu Cina.
"Biar pun tidak sebanyak mana sumbangan diberikan tetapi saya amat prihatin dengan warga emas itu dan usaha dilakukan ini untuk terus mengeratkan hubungan yang terjalin selama ini.
"Jika ada masalah penduduk Semeling perlu kemukakan mengikut saluran yang betul selaras dengan prinsip Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini.
Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok memberitahu, sejak dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri beliau berjaya menyelesaikan banyak masalah masyarakat.
"Kerja-kerja begini perlu dibuat bagi memastikan rakyat di negeri ini berada dalam keadaan aman damai, termasuk semasa menyambut perayaan masing-masing," katanya.
Setiausaha MCA Bahagian Merbok, Chow Kok Leong pula berkata, penerima hamper dan angpau adalah kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
"Kita pilih berpandukan kepada beberapa kategori dan mereka pasti ceria bila menerima sumbangan itu," katanya.
Sumber: Utusan