Norsabrina
Mohd. Noor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid mendapat 5A dalam
Ujian Pencapaian Sekolah Rendah sempena Hari Terbuka Pusat Internet
1Malaysia di Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.
BANDAR
BAHARU 30 Disember - Kerajaan negeri komited untuk meningkatkan capaian
internet dalam kalangan penduduk sehingga ke tahap lebih tinggi
berbanding sekarang.
Pengerusi
Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan
Teknologi Tinggi negeri, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, antara
usaha diambil adalah menjalinkan kerjasama dengan sektor swasta untuk
memajukan kemudahan jalur lebar khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, langkah itu penting untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dengan luar bandar.
"Penduduk
negeri ini kini mempunyai kemahiran menggunakan teknologi maklumat yang
tinggi. Hal ini kerana kebanyakan rumah sama ada di bandar mahupun luar
bandar mempunyai talian internet tetap dan tanpa wayar serta telefon
pintar."
Namun
begitu, kita terus berusaha memastikan capaian internet ditingkatkan ke
tahap tertinggi. "Bagi kawasan luar bandar khususnya, kerajaan
mewujudkan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) yang dahulunya dikenali
sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti," katanya kepada pemberita selepas
merasmikan Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia di Felda Gunung Bongsu,
dekat sini baru-baru ini.
Norsabrina
yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata,
antara perkhidmatan yang disediakan di PI1M adalah capaian internet
jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan WiFi bagi capaian
penduduk sekitar.
Tambahnya,
PI1M juga menyediakan perkhidmatan faks, pencetak, program latihan ICT
dan pembangunan modal insan serta aktiviti berkaitan yang dikendali oleh
pengurus dan pembantu pengurus.
Sumber: Utusan