Polis Kedah Lancar Ops Cantas Ah Long

opscantas
ALOR SETAR 30 Disember - Polis Kedah dengan kerjasama Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) melancarkan Ops Cantas Khas Ah Long dalam usaha membanteras kegiatan sindiket pinjaman wang haram atau Along dan menghapuskan iklan pinjaman wang haram.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Deputi Superintendan Harison Othman berkata, dalam operasi tersebut pihaknya menurunkan semua iklan haram tersebut yang diletakkan di tempat awam.

Bagi tempoh Januari hingga Disember ini, 10 kertas siasatan telah dibuka dan 19 tangkapan dibuat berkaitan kes ah long manakala pada tahun lepas enam kertas siasatan dibuka dan tujuh suspek ditahan, katanya kepada pemberita dalam operasi menurunkan iklan pinjaman wang haram di Jalan Taman Rakyat di sini hari ini.

Katanya suspek boleh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM250,000 hingga RM1juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Harison berkata, polis akan mengesan individu atau sindiket menerusi nombor telefon yang dipamerkan dalam iklan tersebut dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti identiti suspek.

Sumber: Bernama