Oleh OPAT RATTANACHOT
Norsabrina
Mohd. Noor menyampaikan bantuan beg sekolah kepada salah seorang
kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Sungai Taka, Bandar Baharu, Kedah,
kelmarin.
BANDAR
BAHARU 26 Disember - Kerajaan negeri bersetuju memberikan kelonggaran
kepada para penduduk sekitar daerah ini yang lahir di negeri Perak atau
Pulau Pinang untuk mendapatkan bantuan pendidikan daripada Lembaga
Biasiswa dan Pinjaman Negeri Kedah (LBPNK).
Pengerusi
Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat Komunikasi dan
Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, kelonggaran
tersebut diberikan ekoran masalah status taraf anak negeri dalam
kalangan penduduk kawasan itu yang dilahirkan di luar Kedah.
Beliau
berkata, bagaimanapun mereka yang terlibat dikenakan syarat tambahan
iaitu kedua-dua ibu bapa pemohon mesti dilahirkan di Kedah dan mendapat
pengesahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu.
"Sebelum
ini ramai anak negeri Kedah dilahirkan di Perak atau Pulau Pinang
akibat ketiadaan kemudahan bersalin di kawasan Bandar Baharu. Berikutan
itu, mereka secara automatik tidak layak mendapat biasiswa negeri Kedah
meskipun memperoleh keputusan cemerlang.
"Kerajaan
negeri amat memahami masalah ini dan kita bersetuju memberikan
kelonggaran kepada mereka terlibat selepas ini," katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan beg
sekolah sumbangan Pejabat ADUN Bandar Baharu kepada 90 murid di dewan
Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Taka di sini semalam.
Norsabrina
berkata, dengan kelonggaran itu, beliau berharap pelajar cemerlang di
daerah Bandar Baharu akan menggunakan kesempatan terbabit untuk
mendapatkan biasiswa bagi melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.
Tambah
beliau, kerajaan negeri dan Pusat turut bekerjasama untuk memastikan
pembinaan sebuah hospital di daerah Bandar Baharu disegerakan sekali gus
mengatasi masalah status kelahiran dalam kalangan penduduk.
Sumber: Utusan