Sekolah Asrama Anak Nelayan

asramanelayan
ALOR SETAR 20 November - Kehidupan nelayan tidak banyak berubah walaupun mendapat pelbagai bantuan dan kemudahan dari kerajaan kerana pekerjaan itu bergantung kepada sumber ikan di laut.

Ali Yahaya (BN-Pentai Merdeka) berkata, keadaan ekonomi mereka tidak begitu stabil dengan pendapatan yang tidak menentu termasuk bergantung kepada keadaan cuaca sebelum turun ke laut.

Namun begitu, nasib golongan itu boleh diubah dengan memperkasakan tahap pendidikan anak mereka agar berjaya dan mampu menyara kehidupan keluarga masing-masing.

Oleh itu, beliau mencadangkan agar kerajaan menempatkan anak nelayan yang cemerlang dalam pendidikan di sekolah asrama penuh untuk menjamin masa depan yang lebih cemerlang.

“Kalau ikut sistem meritokrasi, anak nelayan memang tidak layak ke sekolah asrama penuh tetapi mereka perlu diberi kelonggaran.

“Dengan ini, mereka boleh mencapai prestasi yang menggalakkan dalam pendidikan,” katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2014 di sidang Dun semalam.

Nor Saidi Nayan (BN-Kuah) bangun mencelah dengan mencadangkan agar Kedah mendahului negeri lain menyediakan sekolah asrama penuh untuk anak nelayan dan petani agar nasib keluarga mereka terbela.

“Beri sedikit kelonggaran. Selalunya pelajar dapat 5A baru boleh masuk sekolah asrama. Tetapi kalau mereka dapat 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dah kira layak. Ia sama seperti 5A untuk anak orang biasa.    

“Kalau ada Maktab Rendah Sains Mara khusus untuk anak polis dan tentera, apa salahnya kerajaan negeri melakukan perkara yang sama,” katanya.

Beliau berkata langkah itu wajar kena petani dan nelayan banyak berkorban kepada masyarakat dengan menyediakan sumber makanan utama untuk negara,” katanya.

Ali turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula kadar pinjaman kereta dan perumahan untuk Adun yang dirasakan agak rendah dan tidak bersesuaian dengan keadaan semasa.

“Kadar yang diberi sekarang ini adalah begitu rendah dan tidak mencukupi untuk membeli kereta dan “Elaun Adun baru naik. Kalau boleh kerajaan negeri tengoklah pula jumlah pinjaman kereta dan rumah untuk Adun,” katanya.

Menurutnya, sumbangan perayaan RM5,000 setahun kepada Adun juga wajar dikaji semula ia tidak mencukupi untuk kegunaan pelbagai majlis sepanjang tahun.

Sumber: Sinar