Masalah Air Kedah Kritikal Menjelang 2025

isuairnov
ALOR SETAR 19 November - Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah hari ini diberitahu Kedah akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air yang kritikal menjelang 2025 jika hanya bergantung kepada empangan sedia ada.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Usahawan negeri Datuk Suraya Yaacob berkata ini kerana Kedah memerlukan bekalan air yang banyak bagi menampung kegunaan orang ramai dan pengairan padi selain air yang perlu disalurkan kepada Pulau Pinang dan Perlis.

Katanya kerajaan negeri sedar pembukaan empangan baharu akan melibatkan keluarga dan tanah petani dan ia sememangnya termasuk dalam pertimbangan kerajaan negeri sebelum empangan baharu dibina.

"Ia melibatkan penggunaan air dan untuk sawah yang merupakan hasil utama negara dan juga negeri.

Dalam pertimbangan ini kita akan mendapatkan titik terbaik. Kajian telah dilakukan, ia (empangan baharu) amat perlu dilakukan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi (Pas-Pengkalan Kundor) di sini.

Phahrolrazi membangkitkan mengenai keperluan mengorbankan tanah untuk dibina empangan baharu iaitu projek "Jeniang Transfer" dengan anggaran kos lebih RM200 juta kerana ia melibatkan kawasan tanah yang luas iaitu melebihi 1,000 hektar.

Ketika ini terdapat empat empangan di Kedah iaitu Empangan Pedu, Ahning, Muda dan Beris.

Suraya berkata dalam soal mengorbankan tanah bagi pembinaan empangan, beliau yakin persetujuan boleh dicapai.

"Air ini untuk pengairan dan penggunaan (orang ramai). Ini belum ambil kira air yang kita hantar ke Pulau Pinang dan Perlis. Kita juga jadi sumber air untuk negeri-negeri terlibat. Ia melibatkan keperluan lebih lima juta orang atau  1,000 keluarga yang terpaksa kita tangani," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Kama Noriah (BN-Pedu), Suraya berkata dalam usaha membangunkan program pertanian padi, kerajaan negeri merancang menjayakan projek-projek pengalihan air dari Sungai Muda ke Sistem Pengairan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), yang melibatkan komponen Empangan Beris, Empangan Naok, Empangan Reman dan "Jeniang Transfer".

"Projek ini amat penting bagi negeri Kedah untuk meningkatkan kemudahan pengairan bagi kawasan Mada. Ia melibatkan keluasan 36,000 hektar dalam kawasan pengairan Mada meliputi Wilayah III Pendang dan Wilayah IV Kota Sarang Semut," katanya.

Beliau berkata projek "Jeniang Transfer" yang melibatkan pembinaan terusan pemindah, terusan penghantar dan Empangan Naok akan dilaksanakan dengan kos berjumlah RM222.3 juta melibatkan keluasan 1,545 hektar.

Sementara itu, Suraya berkata kawasan pertanian khususnya kawasan padi yang diselenggarakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah adalah seluas kira-kira 15,000 hektar yang melibatkan lebih 16,000 keluarga tani manakala lebih 80,000 hektar lagi adalah dalam kawasan Mada.

Sumber: Bernama