Bangunkan Bandar Sempadan

bangunkansempadan

ALOR SETAR 20 November - Kedah komited untuk membangunkan bandar sempadan yang berjiran dengan Thailand iaitu Kota Putra, Durian Burung dan Kota Perdana, Bukit Kayu Hitam bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kawasan tersebut dibangunkan di bawah Pelan Perancangan Pembangunan Induk Sempadan melibatkan projek hab perindustrian Rubber City di Kota Putra dan Kota Perdana.

''Di bawah pelan ini kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan sektor swasta bagi pembangunan kedua-dua projek tersebut.

''Perancangan teliti sedang dijalankan supaya pelaksanaan projek tersebut mencapai objektifnya," katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 hari ini.

Ahmad Zaini bertanya tentang perancangan kerajaan negeri mengenai pembangunan bandar sempadan di Durian Burung dan Bukit Kayu Hitam.

Menurut Mukhriz, komitmen pembangunan itu direalisasikan menerusi majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara syarikat swasta yang disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra di Putrajaya pada 28 Februari lalu.

''Ini merupakan pencapaian yang berkesan dalam meningkatkan keyakinan, komitmen dan usahasama antara pihak berkaitan. MoU itu juga dilihat mampu meningkatkan minat pelabur asing untuk melabur dalam projek pembangunan bandar sempadan tersebut," katanya.

Mukhriz berkata, bagi merealisasikan pembangunan itu, kerajaan menyediakan prasarana di kawasan sempadan termasuk menyiapkan pos kawasan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), klinik kesihatan, kuarters penjawat awam dan menempatkan sebuah Kem Sahara dari Rejimen Artileri Diraja di pintu masuk Kota Putra yang menjadi penghubung dengan Ban Pra-Korb di Thailand.

Katanya, bagi Bukit Kayu Hitam, CIQ sedia ada akan dibangunkan sebagai sebuah kompleks yang lebih baik di bawah konsep Perkongsian Awam-Swasta (PPP) dengan Syarikat Northern Gateways Infrastructure Sdn. Bhd.

''Projek dijangka dapat dimulakan pada suku pertama 2014 setelah syarikat memenuhi semua syarat di bawah konsep PPP itu. Projek ini akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan," katanya.

Mukhriz memberitahu di Durian Burung pula kerja-kerja menyediakan tapak projek pembangunan Rubber City di Kota Putra akan dimulakan akhir 2014 atau awal 2015.

''Pembangunan ini akan mengambil masa sehingga 10 tahun untuk dilengkapkan sepenuhnya dengan komponen-komponen pembangunan secara keseluruhan," katanya.

Sumber: Utusan