Kedah Sasar Sumbang 60% Hasil Padi Negara

kedahpadi

ALOR SETAR 20 November - Kerajaan Kedah berhasrat menyumbang sehingga 60 peratus kepada hasil pengeluaran padi negara menjelang 2020 berbanding kira-kira 35 peratus ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, antara projek yang membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi ialah menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk projek penambahbaikan pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

"Sejak sekian lama kepadatan tali air MADA tidak dapat ditingkatkan dari 18 meter sehektar dan dengan projek ini ia dijangka ditingkatkan kepada 30 meter sehektar.

"Projek ini sekali gus membantu pengeluaran hasil padi dapat ditingkatkan antara lapan hingga 10 metrik tan sehektar," katanya ketika ditemui selepas menggulung usul Bajet 2014 Kedah dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Menurut Suraya, MADA juga diberi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan jumlah kawasan sawah persendirian dijadikan estet padi pada kadar 5,000 hektar setahun dalam tempoh 10 tahun.

Sehingga kini menurut beliau, sejumlah 15,000 hektar estet padi telah dilaksanakan.

"Kerajaan negeri sedang bekerjasama dengan semua pihak seperti MADA dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) bagi memastikan keberkesanan dan kecepatan projek termasuk soal pengambilan tanah," ujar beliau.

Dalam pada itu Suraya memberitahu, kerajaan negeri sedang mengkaji semula kenaikan harga minimum padi kepada petani pada kadar yang lebih baik selepas tidak dikaji semula dalam tempoh 15 tahun.

Sumber: Utusan