Korek Pasir Bukit Inas Dihenti

Oleh OPAT RATTANACHOT
korekpasirinas

SUNGAI PETANI 21 November - Kerajaan Negeri mengarahkan kerja-kerja mengorek pasir di kawasan Bukit Inas, Mukim Bujang, Merbok dekat sini, diberhentikan sementara waktu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, keputusan itu dibuat bagi mencari penyelesaian terhadap masalah yang mungkin timbul terhadap penduduk akibat aktiviti tersebut.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati projek tersebut telah diberikan kepada anak syarikat kerajaan negeri iaitu Permodalan Kedah Berhad (PKB) dan kemudiannya diserahkan pula kepada kontraktor untuk mengeluarkan pasir.

"Walaupun syarikat ini mempunyai kebenaran untuk mengeluarkan hasil pasir, namun kerajaan negeri memandang serius impak yang berlaku terhadap penduduk.

"Kita telah mengarahkan PKB memberhentikan sementara projek ini sehingga langkah penyelesaian dibuat dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan dialog dengan penduduk terlibat di kampung tersebut, di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, penduduk di Bukit Inas merayu Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda segera menjalankan siasatan berhubung aktiviti mengorek pasir berhampiran kampung mereka yang didakwa dilakukan kira-kira sebulan lalu.

Penduduk mendakwa, aktiviti tersebut memusnahkan pelbagai pokok besar di tanah milik kerajaan untuk dijadikan tempat mengumpul pasir sebelum dikeluarkan bagi pasaran tempatan.

Tajul Urus yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai berkata, satu perbincangan lanjut akan dijalankan pihaknya dengan PKB dan agensi terlibat seperti Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Muda pada Ahad ini.

"Kita memandang serius aduan penduduk yang ditimpa masalah akibat kegiatan mengeluarkan pasir itu.

Saya selaku ADUN kawasan terbabit sendiri juga berpandangan kita tidak berniat menghalang kegiatan ini tetapi ia perlu dijalankan secara berhemah dan tidak mendatangkan kesusahan kepada penduduk," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga menasihatkan kepada para kontraktor yang terlibat dalam kegiatan mengeluarkan pasir agar memastikan sensiviti penduduk setempat semasa menjalankan kegiatan mereka.

Sumber: Utusan