Cerdik Peruntuk RM100,000 Tingkatkan Pencapaian Murid Sekolah Rendah

cerdik

ABDUL Aziz Sheikh Fadzir mengucapkan tahniah kepada Nor Hazwani Abdul Rashid setelah mendapat 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah 2013 di Ladang Buntar, Serdang, Bandar Baharu, Kedah baru-baru ini.

BANDAR BAHARU 18 November - Persatuan Kecemerlangan Pendidikan Negeri Kedah (Cerdik) menyediakan peruntukan khas sebanyak RM100,000 dalam usaha meningkatkan pencapaian murid sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Kulim Bandar Baharu pada tahun hadapan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, peruntukan tersebut juga sebagai motivasi bagi guru-guru dan murid sekolah yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), baru-baru ini.

"Kita menyediakan peruntukan khas sebanyak RM100,000 bagi memastikan murid-murid di kawasan Kulim Bandar Baharu ini terus meningkatkan usaha dan memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan mereka.

"Antara langkah yang akan diambil adalah menyediakan insentif kepada murid cemerlang dan menambah baik kemudahan pendidikan di semua sekolah di kawasan ini. Semua ini dilakukan agar murid-murid di luar bandar khususnya tidak terpinggir daripada arus pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi seorang murid tahun enam, Nor Hazwani Abdul Rashid, 12, dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Buntar, dekat sini, yang berjaya memperoleh keputusan 5A 2B dalam UPSR baru-baru ini.

Abdul Aziz yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu melahirkan rasa bangga atas kejayaan Nor Hazwani yang mampu mencatatkan prestasi cemerlang walaupun hanya belajar di sekolah ladang.

"Nor Hazwani bukan sahaja menjadi contoh kepada murid di sekitar daerah ini malah kisah kejayaannya turut mendapat perhatian di seluruh Malaysia melalui hebahan media. Ini sekaligus membuktikan bahawa mereka yang tinggal di luar bandar juga boleh berjaya asalkan ada usaha," katanya.

Dalam pertemuan itu, beliau menghulurkan sumbangan peribadi sebanyak RM1,000 kepada keluarga Nor Hazwani dan RM500 lagi daripada Tabung Barisan Nasional (BN) Kulim Bandar Baharu.

Abdul Aziz turut menghulurkan sumbangan RM3,000 kepada SJKT Ladang Buntar untuk tujuan pembangunan pendidikan pada masa akan datang.

Yang hadir bersama pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, Datin Norsabrina Mohd.Noor; Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kulim Bandar Baharu; Mazlan Osman dan Guru Besar SJKT Ladang Buntar, S. Malarvili.

Sumber: Utusan