Mukhriz Mahathir mengalungkan pingat penghargaan kepada Najeman Cham yang menerima Anugerah Khas Pengerusi KEDA dalam Majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej KEDA di Dewan Budi Gemilang, Sik, Kedah baru-baru ini.
SIK
18 November - Persepsi masyarakat mengatakan latihan kemahiran berat
dan melecehkan amat membimbangkan berikutan jumlah pelatih kemahiran
yang dilahirkan amat sedikit.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, kekosongan tenaga mahir
sepatutnya diisi oleh rakyat dari negara ini, bukannya oleh orang luar.
"Ramai
tenaga mahir dari luar negara bekerja di sini termasuk dalam
bidang-bidang tertentu yang sepatutnya diisi oleh warganegara ini.
"Persepsi
masyarakat yang mengatakan kerja-kerja kemahiran itu adalah berat dan
melecehkan amat dikesalkan. Oleh sebab itulah banyak kerja kosong dalam
pasaran kerja pada masa kini," katanya.
Beliau
menyatakan demikian ketika berucap dalam majlis Konvokesyen Ke-8 Kolej
Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), di Dewan Budi Gemilang, Pusat
Latihan KEDA di sini kelmarin.
Kolej
KEDA mula beroperasi pada Mac 1988 sebagai Pusat Latihan KEDA (PUSTIKA)
di Perangin di sini sebelum dikenali dengan nama baru iaitu Kolej KEDA.
Menurut
Mukhriz, anggapan tersebut perlu dihapuskan dan masyarakat terutama ibu
bapa perlu memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak mereka untuk
menceburi bidang kemahiran.
Kata
Mukhriz, Kolej KEDA menawarkan kursus kemahiran jangka panjang dan
sehingga kini seramai 4,224 pelatih telah berjaya dilahirkan menerusi
Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan
Kemahiran (JPK), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan SIRIM.
"Di
samping itu, Kolej KEDA turut melaksanakan Kursus Kemahiran Jangka
Pendek (dua hingga 10 hari) berteraskan kemahiran, pembangunan
keusahawan, kepimpinan, minda insan dan teknologi maklumat," ujarnya.
Sementara
itu pelatih Teknologi Kimpalan, Najeman Cham, 21 dari Kangar, Perlis
yang mendapat Anugerah Khas Pengerusi KEDA merancang melanjutkan
pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
"Syukur
kepada Allah kerana memberi peluang kepada saya untuk belajar di Kolej
KEDA dan seterusnya mendapat anugerah tertinggi ini. Terima kasih juga
kepada semua pendidik yang tidak jemu mengajar serta mereka yang
terlibat sehingga dapat melahirkan modal insan yang berkualiti dan
mempunyai kemahiran dalam pasaran pekerjaan," katanya.
Sumber: Utusan