Pertumbuhan Ekonomi Kedah Diseimbang

budgetkdh2014
ALOR SETAR 18 November - Kerajaan Kedah akan memberi perhatian khusus kepada usaha membasmi kemiskinan di negeri ini bagi memastikan pertumbuhan ekonomi di Kedah dapat dinikmati secara saksama oleh rakyat.
 
Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata, tema Bajet 2014 yang dibentangkan beliau di Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini, " Bajet Rakyat - Pertumbuhan Mampan, Pengagihan Saksama" adalah untuk mengimbangi antara soal pertumbuhan ekonomi dengan pembahagian hasilnya kepada rakyat negeri ini.
 
"Masih banyak yang agak terpinggir daripada arus pembangunan perdana. Penekanan untuk membasmi kemiskinan diberikan perhatian khusus. Di sini pentingnya kerajaan negeri sama dengan di Persekutuan. Kerjasama kedua-dua pihak banyak meringankan beban rakyat," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Bajet 2014 di Wisma Darul Aman.
 
Katanya, kerajaan negeri juga akan bekerjasama erat dengan pelbagai kementerian untuk pembangunan perumahan baharu dan baik pulih rumah yang memerlukan bantuan kerana ia juga sebahagian daripada pembasmian kemiskinan.
 
Mengenai kenaikan elaun Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) sebanyak RM1,300 sebulan menjadikan jumlah keseluruhannya RM6,961 seperti yang diumumkan dalam pembentangan bajet hari ini, Mukhriz berkata hasil penelitian kerajaan negeri mendapati elaun Adun di Kedah adalah yang terendah diMalaysia.

"Itu memberi gambaran bahawa kerja berat wakil rakyat negeri lebih berat apabila elaun begitu rendah. Untuk ringankan beban sedikit pertambahan sebanyak RM1,300..jadi kini lebih sikit daripada terendah (elaun Adun). Kita kaji sejak bulan Ogos dan berkuat kuasa mulai Disember," kata Mukhriz.
 
Berkenaan tindakan kerajaan negeri tidak memasukkan hasil jualan air mentah daripada sungai di Kedah yang mengalir ke Pulau Pinang dan Perlis seperti dilakukan kerajaan negeri terdahulu, beliau berkata bajet mestilah berdasarkan angka-angka yang benar dan tepat.
 
"Tak boleh letak angka selagi belum dimuktamad, belum bincang dengan pihak terlibat. (Penjualan) air mentah ke Pulau Pinang, kita tak bincang, jadi tak adil letak dalam bajet. Belum tentu dapat," katanya.

Mukhriz berkata, penjualan air itu masih satu isu yang perlu diselesaikan kerana ia melibatkan sumber air tadahan Kedah.
  
"Masih ada pertikaian sumber air. Kita akan teruskan dengan cara lain. Harap-harap tak timbul kekhuatiran di pihak Pulau Pinang," katanya.

Mukhriz berkata, kerajaan negeri Kedah juga akan membincangkan soal bayaran pajakan Pulau Pinang yang kini RM10,000 setahun, dengan kerajaan Persekutuan.
 
"Kita (Kedah) sebenarnya dah bangkitkan daripada dulu. Saya ingat tiada inisiatif bincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai pajakan Pulau Pinang. Ikut sejarah pajakan adalah 10,000 Spanish Crown, di mana nilainya kini jauh lebih besar.
 
"Sewaktu merdeka 10,000 Spanish Crown ditukar menjadi RM10,000. (Nilai itu) tak ada peningkatan, inflasi dan sebagainya. Yang dipajak adalah sebuah negeri, seluruh pulau dan sebahagian di tanah besar. Saya optimis, kerajaan Persekutuan beri pertimbangan positif," katanya.
 
Mukhriz berkata, banyak sumber pendapatan negeri tidak dikutip dengan serius menyebabkan kerugian kepada kerajaan negeri.
 
"Ada situasi, pemohon minta tukar status tanah. Dia telah usahakan tanah itu dan dia ada peruntukan bayar kerajaan negeri tetapi kerana kertas kerja tidak dibuat untuk diluluskan kita tak dapat hasil," katanya.  

Sumber: Bernama