BAS RAPID UNTUK RAKYAT KEDAH



13bas
ALOR SETAR 13 Ogos - Kerajaan negeri sedang berusaha untuk menyediakan perkhidmatan bas Rapid di Kedah, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.
Beliau berkata perkhidmatan bas itu sekali gus dapat memudahkan pengguna komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ntuk sampai ke destinasi yang dituju.
"Memang ramai yang menggunakan perkhidmatan komuter terutamanya penjawat awam yang berulang alik dari Pulau Pinang dan Perlis ke Alor Setar, tetapi apa yang menjadi masalah ialah apabila hendak ke destinasi mereka dari stesen komuter.
"Jadi kita sedang berusaha untuk memasukkan perkhidmatan bas Rapid ke Kedah. Contohnya pengguna boleh menaiki bas yang disediakan di Stesen Alor Setar untuk terus ke UiTM Merbok," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jom Naik Komuter di sini hari ini.
Terdahulu beliau menaiki komuter dari Stesen Sungai Petani ke Stesen Alor Setar sebagai antara usaha menggalakkan rakyat Kedah menggunakan perkhidmatan komuter.
Tajul Urus juga berkata beliau telah meminta KTMB untuk menambah jumlah koc komuter berikutan jumlah tiga koc yang sedia ada tidak mencukupi terutama ketika hari kemuncak dari Khamis hingga Ahad.
"Koc sedia ada tidak cukup jadi kita harap pihak KTMB dapat menambah jumlah koc bagi menampung jumlah pengguna KTM komuter di Kedah," katanya.
Sumber : Sinar