Terus Pengajian Di KUIN

16kuin
ALOR SETAR 16 April –  Kerajaan Negeri bersedia membuka peluang kepada pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU) bagi meneruskan pengajian di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) berikutan ura-ura AiU bakal ditutup pada Jun 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, perbincangan sudah dibuat antara pengurusan AiU dan Rektor KUIN, Profesor Dato’ Mohd Yusof Kasim bagi tujuan perpindahan pelajar terbabit.

“Saya sudah dimaklumkan oleh Rektor KUIN bahawa beliau turut dipanggil oleh pihak AiU untuk menghebahkan kepada mana-mana Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang berminat untuk ambil pelajar mereka.

“AiU juga memberi kebebasan kepada pelajar untuk memilih KUIN atau mana-mana IPTS, tetapi KUIN membuka pintu yang luas kepada pelajar AiU untuk menyambung pengajian di sini.

“Di segi pencapaian kredit, pelajar boleh berunding dengan KUIN,” katanya kepada pemberita selepas melawat bangunan Maktab Mahmud yang terbakar, di sini.

Tambahnya, pelajar AiU yang berminat untuk menyambung pengajian di KUIN atau mana-mana IPTS difahamkan akan dibiayai kos pengajiannya oleh pihak pengurusan universiti antarabangsa itu sehingga tamat.

Difahamkan, kira-kira 600 pelajar dari dalam dan luar negara menyatakan kebimbangan ekoran keputusan pihak pengurusan AiU yang ditubuhkan sejak 2010 itu untuk menutup operasi mereka.

YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya mengakui kecewa dengan keputusan AiU itu kerana tiada rundingan dijalankan bersama Kerajaan Negeri terlebih dahulu, sebelum keputusan untuk menutup universiti itu dilakukan.

“Sepatutnya adakan perbincangan awal untuk menyatakan masalah mereka dan notis penutupan juga harus dibuat setahun awal, sebelum keputusan terbabit boleh dibuat.

“Saya difahamkan, pihak AiU hanya memberi notis kepada Kementerian Pendidikan pada 14 Mac 2014 tanpa melalui Kerajaan Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kerajaan Negeri sememangnya rapat dengan pihak AiU dan sentiasa memberi sokongan serta bantuan.

“Ini kerana AiU adalah satu-satunya kolej yang menawarkan pengajian percuma. Jadi, kalau nak tutup, mesti maklum secara rasmi. Sekurang-kurangnya, bagi notis setahun,” katanya.

Sumber:UMTK