Baru pra sekolah sudah diperkenal pusat pentadbiran negeri

Isnin, 22 Ogos 2011 10:45 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |




ALOR SETAR - Walaupun baru berusia antara empat hingga enam tahun namun 70 murid Tadika Seri Mega Sungai Petani telah didedahkan kepada perkembangan dunia luar dari bilik darjah.


Mereka yang ditemani oleh sepuluh orang guru serta 30 ahli keluarga murid, telah mengadakan lawatan ke pusat pentadbiran negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Guru Besar tadika ini Encik A. Subramaniam memberitahu program lawatan sambil belajar ini diadakan sehari suntuk khusus untuk melawat tempat-tempat menarik di Alor Setar sahaja.

Menurutnya, kemuncak lawatan ini ialah di Wisma Darul Aman manakala tempat lain yang dimasukkan ke dalam senarai lawatan ialah Muzium Padi, Muzium Negeri, Istana Anak Bukit, Rumah Kelahiran Mahathir dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

“Kanak-kanak ini suka melihat kapal terbang dan kami membawa mereka ke sana untuk melihat tempat kapal terbang mendarat dan mengambil penumpang,” katanya.

Katanya, pihak pentadbiran sekolah sangat berpuas hati dengan program ini, kerana semua ibu bapa dan waris murid-murid memberi kerjasama sepenuhnya kepada program lawatan sambil belajar ini.

“Mereka juga menwarkan diri untuk ikut bersama dengan ini meringankan sedikit tugas guru-guru untuk mengawal dan menjaga 70 murid ini,” katanya.

Pihak pengurusan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah telah bermurah hati memberi makanan dan minuman kepada murid-murid ini.




Terakhir Dikemaskini (Isnin, 22 Ogos 2011 10:53)