7,000 sertai Larian Bendang 2013

Oleh SAFINA RAMLI


Mukhriz Tun Dr. Mahathir melepaskan peserta acara Larian Bendang Kedah 2013 sempena Karnival Amal Hari Penyayang 2013 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 29 Jun - Larian Bendang 2013 yang diadakan di Stadium Darul Aman sempena Karnival Amal Hari Penyayang anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) mendapat sambutan menggalakkan dengan disertai kira-kira 7,000 orang daripada pelbagai peringkat umur.

Setiausaha Larian Bendang 2013, Mohd. Fadzil Ahmad berkata, pada tahun lalu, acara sama menarik minat kira-kira 6,000 rakyat negeri itu dan tahun ini pihaknya berbangga kerana terdapat peningkatan jumlah peserta.

Katanya, sebanyak tujuh kategori dipertandingkan yang menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM40,000.

"Kategori yang dipertandingkan ialah VIP bagi umur 50 tahun ke atas, VIP (49 tahun ke bawah), terbuka (18 tahun ke atas), veteran (40 tahun ke atas), senior (18 hingga 39 tahun), sekolah menengah (13 hingga 17) dan sekolah rendah (9 hingga 12 tahun).

"Jarak larian ialah sejauh dua kilometer untuk kategori VIP, 21 kilometer untuk terbuka, tujuh kilometer untuk veteran, senior dan sekolah menengah, manakala tiga kilometer untuk peserta sekolah rendah," katanya ketika ditemui di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Acara pelepasan peserta disempurnakan oleh Anggota Jemaah Pemangku Sultan, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir dan Anggota Lembaga Amanah YSB, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah.

Turut berangkat ke karnival itu ialah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Karnival Amal Hari Penyayang yang bermula sejak Jumaat lalu itu bertujuan mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari serta mengumpulkan seluruh rakyat negeri ini bagi mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah.

Sumber: Utusan