Kedah Beri Perhatian Khusus Basmi Kemiskinan

MADA
ALOR SETAR 18 November - Kerajaan negeri Kedah komited dan memberi tumpuan khusus untuk membasmi kemiskinan di negeri ini menerusi pelbagai pendekatan melibatkan kerjasama semua pihak di sebalik kerancakan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi yang dilaksanakan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, meskipun Kerajaan Persekutuan dan negeri mempunyai banyak projek untuk mengangkat masyarakat termiskin, namun masih ramai yang tercicir daripada arus pembangunan perdana.

Beliau berkata, Kedah masih mempunyai 23,000 isi rumah yang dikategorikan sebagai miskin.

"Atas kesedaran ini, kerajaan negeri akan berusaha dengan segala kudrat yang ada dan dengan iltizam kental untuk membasmi kemiskinan secara langsung dan tidak langsung," katanya ketika membentangkan Bajet 2014 dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Ke-13 di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurut Mukhriz, pendekatan secara langsung dimaksudkan adalah projek-projek perumahan menggunakan pelbagai kaedah dan melibatkan kerajaan Persekutuan, negeri dan swasta.

Pendekatan tidak langsung pula, katanya, melibatkan pembangunan ekonomi setempat yang membuka peluang untuk dimanfaatkan oleh masyarakat seperti pelaburan asing dan tempatan, pembinaan infrastruktur pemangkin serta pembangunan modal insan.

"Semua ini bertujuan mengupayakan ekonomi golongan termiskin dalam kalangan kita," ujar beliau.

Dalam pada itu beliau berkata, kesamarataan pemerintahan Pusat dan negeri lebih-lebih lagi kerajaan yang progresif dan mesra ekonomi adalah penting bagi mencapai taraf sebuah negeri maju, aman serta makmur untuk rakyat nikmati.

Katanya, sebagai sebuah negeri yang akan melaksanakan transformasi pada tahun depan, kerajaan negeri Kedah tentu menyediakan bajet seiring dengan teras ditetapkan oleh kerajaan Persekutuan di samping memastikannya mencapai matlamat bagi memenuhi janji dibuat.

Menurutnya, contoh bahawa hubungan Kerajaan Persekutuan dengan negeri yang rapat boleh menghasilkan kesenangan kepada rakyat ialah dengan pengumuman projek penambahbaikan pengairan dan saliran Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) selain menerima peruntukan tambahan untuk projek estet padi.

"Yang beruntung nanti ialah para petani kerana hasil pendapatan akan meningkat. Rakyat tentu sekali akan mendapat limpahan nikmat daripada projek sebesar ini," katanya.

Sumber: Utusan