Memartabat Sektor Pertanian Agenda Penting Negara

martabatsektorpertanian
MUHYIDDIN Yassin melambai tangan kepada orang ramai ketika hadir di Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan MADA 2013 di PPK MADA, Bukit Besar, Kedah, semalam.

JERAI 26 Oktober - Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited untuk terus memartabatkan sektor pertanian sebagai agenda penting negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sektor tersebut amat diperlukan lebih-lebih lagi ketika kebanyakan negara di dunia kini menghadapi krisis kekurangan bahan makanan.

"Sektor pertanian dan perladangan adalah bidang yang penting untuk menentukan Malaysia terus mengeluarkan bahan makannan yang perlukan. Kita tidak pernah meminggirkan malah sentiasa mendokongnya. Saban tahun ia diberikan peruntukan cukup besar. Dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, sektor ini mendapat RM6 bilion.

"Kita tahu semua perlukan makanan. Disebabkan itulah peruntukan disediakan agar menjadikan Malaysia sebagai pengeluar makananan utama. Ini juga adalah satu jihad iaitu tuntutan agama yang kita perlu laksanakan untuk memastikan makanan mencukupi," katanya ketika berucap dalam Majlis Himpunan Peladang, Penternak dan Nelayan Lembaga Pembangunan Pertanian Muda (MADA) di Bukit Besar, di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan juga dari semasa ke semasa merangka strategi berkesan bagi memastikan sektor pertanian terus berdaya saing dan pada masa sama mencatatkan hasil yang tinggi.

"Memang kita sedar bahawa sekarang anak-anak muda tidak begitu mesra dengan sektor pertanian sekarang. Namun, kita sedang usahakan secara giat untuk pastikan sektor ini terus maju termasuk menggunakan teknologi moden dan memperkenalkan amalan pertanian baik (GAP)," katanya.

Bercakap dalam sidang akhbar, Muhyiddin menegaskan, rakyat tidak seharusnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang memburuk-burukkan usaha kerajaan melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus.

"Mereka sebagai ahli politik juga faham kerana sudah sampai masa GST ini digunakan tetapi tetap mahu memanipulasi. Umumnya semua tahu bahawa kita memerlukan sistem percukaian yang lebih efisien dan cekap. Jadi GST ini perlu dilaksanakan kerana ia memang terbukti berkesan malah digunakan di lebih 160 buah negara.Lebih penting lagi, inilah masa yang paling sesuai kerana kadar inflasi masih rendah iaitu sekitar dua peratus. Tambahan pula kerajaan telah mengambil kira keupayaan dan kemampuan setiap golongan sebelum mengambil keputusan," katanya.

Sumber: Utusan