MBAS CADANG WUJUD TAMAN SAKURA


31mbas
ALOR SETAR 31 Mac - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bercadang membina ‘Taman Sakura Kedah’ di Alor Setar.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Zohdi Mohd Saad berkata, pokok tekoma atau lebih dikenali sebagai sakura Kedah merupakan simbolik bandar Alor Setar.
“Untuk itu, pihak kami telah memilih lokasi bersesuaian demi merealisasikan hasrat mewujudkan taman khas seperti di luar negara, sebagai contoh Jepun kepada orang ramai itu.
“Berdasarkan perancangan, MBAS berhasrat membina Taman Rekreasi Keriang Pulau, Tandop, di sini, dipenuhi pokok sakura Kedah,” katanya.
Katanya, taman rekreasi berkenaan akan dilengkapi kemudahan dan prasarana, seperti tasik buatan dan laluan bagi membolehkan orang ramai menikmati pemandangan indah.
Setakat ini, menurutnya, MBAS menerima permohonan cadangan daripada pelbagai pihak untuk mewujudkan Taman Rekreasi Keriang Pulau tersebut.
“Insya-ALLAH, masyarakat berpeluang menerokai keindahan panorama alam sekitar di taman khas berkenaan dalam tempoh dua tahun lagi sekiranya tiada aral melintang,” katanya.
Katanya, pokok sakura Kedah berkembang mekar ketika musim panas terik di negeri ini, iaitu antara Januari hingga Mac yang akan menghiasi laluan utama di Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena.
Malah, katanya, pemaju taman perumahan baharu digalakkan menanam pokok sakura Kedah dalam usaha mengindahkan panorama dan menambahkan keceriaan di bandar raya ini.
Katanya, MBAS telah menanam lebih 1,000 pokok dengan pelbagai warna seperti merah jambu, putih dan ungu itu di beberapa kawasan baharu, antaranya Jalan Pokok Sena.
Pada awal Mac lepas, penduduk setempat melahirkan keterujaan apabila pokok sakura Kedah mula berbunga di Jalan Kuala Kedah, Jalan Langgar dan Jalan Tun Razak.
Oleh : Nurul Hidayah Hamid
Sumber : Sinar