Kampung Pering Menang Kampung Tradisional Terbaik

SUNGAI PETANI 1 Oktober - Kampung Pering, Kodiang dekat Kubang Pasu meraih anugerah Kampung Tradisional Terbaik sempena Pertandingan Keceriaan Merdeka Kedah 2014 yang berlangsung di Hotel Emerald Puteri, Sungai Petani baru-baru ini.

Sebanyak 11 kampung tradisional termasuk Kampung Baharu Cina, estet dan Felda menyertai pertandingan anjuran bersama Jabatan Penerangan negeri dan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pering, Johari Yahaya berkata, kemenangan itu begitu bermakna kerana membuktikan kerjasama penduduk yang bertungkus-lumus menyertai pelbagai aktiviti bagi memperindah kampung tersebut.

"Penduduk berjaya membina pintu gerbang, Jalur Gemilang besar, kain rentang, menghias setiap lorong rumah dan usaha itu berjaya membuahkan hasil," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Menurutnya, terdapat 672 penduduk di Kampung Pering yang membabitkan 185 rumah dan kebanyakan mereka bekerja dalam bidang pertanian termasuk tanaman jagung manis berkelompok dan pokok kenaf di bawah perhatian Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.

"Bagi memajukan kampung ini, kami berjaya menubuhkan Koperasi Asas Tani Kedah Berhad dan setakat ini, sebanyak 101 penduduk telah menjadi ahli. Kami juga membuka kedai input pertanian, ini semua dapat memberi kebaikan kepada penduduk di kawasan tersebut," katanya.

Johari memberitahu, kampung itu juga telah dipilih memenangi Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia Peringkat Daerah Kubang Pasu 2014 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah Kubang Pasu dengan kerjasama Pejabat Daerah Kubang Pasu.

Pengarah Penerangan Negeri Kedah, Dr. Haniff Hassan ketika berucap dalam majlis itu berkata, sebanyak lapan kategori dipertandingkan sempena program itu, termasuk bangunan kerajaan, swasta, kampung tradisional, sekolah, taman perumahan, pintu gerbang dan lain-lain.

"Kerjasama penduduk di negeri Kedah bagi menjayakan program pertandingan kali amat baik sekali dan usaha dilakukan menunjukkan mereka prihatin dan sayangkan negara sendiri," katanya.

Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori lain termasuk sekolah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Taman Selasih, Kulim, bangunan swasta (Kulim Inn daerah Kulim) dan bangunan kerajaan (Pertubuhan Peladang Kawasan Seri Jerai daerah Yan).

Kategori lain ialah taman perumahan (Taman Desa Damai, Jitra), anjung komuniti (Kampung Desa Keda Wang Tok Rendong, Langkawi), pintu gerbang (Pertubuhan Kebajikan Shan Cheng, Alor Setar) manakala bahagian individu, Najib Rabi dari Kampung Relau daerah Bandar Baharu.

Sumber : UTUSAN