YAN
26 Oktober - Isu berkaitan agama di negeri Kedah dianggap sebagai
keutamaan dan institusi berkaitannya akan terus dibela kerajaan negeri,
kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Mahathir.
Beliau
berkata, pendekatan itu bukan sekadar cakap kosong tetapi merupakan
komitmen berdasaran kemampuan kerajaan negeri dengan dibantu kerajaan
pusat.
"Soal
agama ini kita letak bab paling awal (terdahulu) dan kita beri
keutamaan berkait dengan agama termasuklah dalam soal kebajikan sekolah
pondok, maahad tahfiz, sekolah agama bantuan kerajaan, surau dan juga
masjid.
"Sebab
itu tidak pelik apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin turun padang (disini) dan banyak berjumpa dengan warga pondok
yang menunjukkan kesungguhan kerajaan pusat membantu sekolah pondok,"
katanya.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Asar
berjemaah bersama Muhyiddin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Seri Jamil Khir Baharom di Pondok Moden Nahdzah, Bukit Besar dekat sini
hari ini.
Pada
majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan kerajaan pusat sebanyak
RM3 juta bagi pembinaan dewan makan Pondok Moden Nahdzah selain asrama
bagi Sekolah Menengah Agama (SMA) Nahdzah yang terletak di hadapan
pondok tersebut.
Pondok
Moden Nahdzah merupakan pusat pengajian agama khas bagi warga emas yang
dibuka pada Februari tahun ini yang menjadi pelengkap kepada SMA
Nahdzah yang merupakan sekolah agama bantuan kerajaan yang dibuka sejak
1946.
Sementara
itu Pengerusi Lembaga Pondok Moden Nahdzah dan SMA Nahdzah, Nasir
Othman berkata ini kali pertama sumbangan sedemikian diterima pihaknya
dan juga kali pertama pimpinan tinggi negara hadir ke pusat pengajian
agama berkenaan.
"Ini
(peruntukan) satu anugerah besar tak terduga. Ini bukan masalah politik
tapi masalah pendidikan. Saya juga rasa seronok kerana pemimpin
tertinggi ambil berat mengenai agama dan pendidikan umat Islam,"
katanya.
Beliau berkata, pada masa ini terdapat 40 pelajar di Pondok Moden Nahdzah dan 780 pelajar di SMA Nahdzah.
"Kita
punyai asrama yang mencukupi bagi Pondok Nahdzah. Cuma di SMA Nahdzah,
asrama yang ada cuma mampu menampung 420 orang pelajar," katanya.
Sumber: Bernama