Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
Tuanku
Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan cenderamata dan
mengucapkan selamat jalan kepada 279 orang jemaah haji yang menaiki
penerbangan pertama terus dari Alor Setar ke Madinah di Kompleks Tabung
Haji Kepala Batas, Alor Setar, Kedah, semalam. Turut hadir, Jamil Khir
Baharom dan Mukhriz Mahathir.
ALOR
SETAR 9 September - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam
Shah menasihatkan jemaah haji Malaysia supaya menjaga nama baik negara
sepanjang berada di Tanah Suci.
Seri
Paduka bertitah, baginda tidak mahu jemaah haji Malaysia terpengaruh
dengan pergolakan yang sedang berlaku di Asia Barat kerana tindakan
seumpama itu boleh menjejaskan nama negara dan hubungan baik antara
kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.
"Ikutilah
segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi
supaya segala urusan dapat dipermudahkan serta berjalan lancar," titah
baginda semasa berangkat menyempurnakan Majlis Pelepasan Jemaah Haji
1434 Hijrah Wilayah Utara di Kompleks Haji dan TH Hotel di sini hari
ini.
Dalam
majlis itu, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah
berkenan berangkat mengucapkan selamat jalan kepada bakal jemaah haji
menerusi penerbangan terus julung kali dari Lapangan Terbang Sultan
Abdul Halim, di sini ke Madinah.
Sebanyak
lima penerbangan berlepas terus dari Alor Setar ke Madinah pada musim
haji kali ini melibatkan 1,400 jemaah menggunakan pesawat Penerbangan
Malaysia (MAS) B777 bermula hari ini dan berakhir pada 13 September ini.
Berangkat
sama Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar
Sultan Badlishah dan Ahli-ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah iaitu Tunku
Temenggung Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah; Tunku
Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan
Tunku Panglima Besar Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan
Abdul Halim.
Yang
turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir; Menteri di
Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi
Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim;
Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk
Ismee Ismail dan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Fahad A. H.
Al-Rashid.
Tuanku
Abdul Halim turut menasihatkan bakal jemaah haji agar memberikan
tumpuan sepenuhnya dalam mengerjakan ibadat tersebut dengan sempurna dan
dikurniakan haji mabrur.
Titah
baginda, para jemaah haji memerlukan pengorbanan tinggi dari segi
mental, fizikal dan spiritual di samping penjagaan kesihatan dan
kebersihan diri serta sekeliling yang baik.
Dalam
pada itu, baginda mengucapkan tahniah kepada Tabung Haji dan agensi
terlibat khususnya Kerajaan Kedah yang memberikan kerjasama untuk
menjadikan penerbangan terus dari Alor Setar ke Madinah menjadi satu
realiti.
Tuanku
Abdul Halim juga mengucapkan syabas kepada Tabung Haji atas komitmennya
untuk mengekalkan dan menambah baik kualiti perkhidmatan yang diberikan
kepada jemaah haji.
"Ini
terbukti dengan penerbangan terus ke Tanah Suci dan terbinanya Kompleks
Haji yang baharu untuk kemudahan para jemaah haji. Beta berharap
Kompleks Haji dan TH Hotel yang beroperasi sepenuhnya pada musim haji
tahun ini mampu memberikan lebih kemudahan, kelancaran dan keselesaan
kepada bakal jemaah haji dalam urusan pelepasan," titah baginda.
Seri
Paduka turut menyeru agar semua umat Islam Malaysia bersyukur kerana
negara ini mempunyai sebuah organisasi seperti Tabung Haji yang menjadi
salah satu ikon negara selain menjadi contoh kepada negara-negara Islam
di seluruh dunia.
Sumber: Utusan