ALOR
SETAR 12 Ogos - Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di pusat
bandar raya ini dijangka dapat diatasi apabila Majlis Bandaraya Alor
Setar (MBAS) merancang membina sebuah bangunan parkir bertingkat tidak
lama lagi untuk keselesaan orang ramai.
Menurut
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad, parkir bertingkat
tersebut akan memuatkan sebanyak 500 petak letak kereta dan pihaknya
sudah mengenal pasti lokasi yang bersesuaian.
Pada
ketika ini terdapat kira-kira 700 tempat meletak kereta di
tengah-tengah bandar raya ini termasuk 400 petak di Pusat Transformasi
Bandar (UTC) Kedah yang baru disiapkan di Kompleks MBAS Jalan Kolam Air.
MBAS
menyedari keperluan orang ramai untuk berkunjung ke bandar ini bagi
menyelesaikan pelbagai urusan mereka, jadi kita merancang membina parkir
bertingkat ini," katanya di sini baru-baru ini. Menurut Mat Noh,
pihaknya menjangka kehadiran orang ramai ke Alor Setar bertambah dengan
pembukaan UTC Kedah sejak 21 Julai lalu.
MBAS
akan berusaha menyelesaikan parkir di bandar raya ini termasuk menaik
taraf tempat letak kereta di Kompleks MBAS bersesuaian dengan pembukaan
UTC Kedah yang kini mempunyai sebanyak 400 petak," katanya. Menyentuh
tentang UTC Kedah, pihaknya berharap orang ramai dapat memanfaatkan
kemudahan yang disediakan di bawah satu bumbung.
Katanya,
sehingga kini terdapat sebanyak 22 jabatan kerajaan dan swasta
beroperasi termasuk Klinik 1Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan
Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Sumber: Utusan