ALOR
SETAR 5 Ogos - Kerajaan Kedah menyokong semua langkah yang diambil oleh
pihak berkuasa untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya termasuk
pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
Menteri
Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata yang penting adalah
keselamatan orang ramai di jalan raya berbanding isu-isu lain yang
dibangkitkan mengenai AES.
Keadaan
keselamatan di jalan raya sekarang sudah terlalu mendesak yang
disebabkan sikap pemandu sendiri, kerana jika dibanding dengan negara
lain yang lebih banyak bilangan kenderaan, kadar kemalangan lebih
rendah, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ketua Polis
Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, di sini hari ini.
Menurut
Mukhriz, dalam perbincangan beliau dengan Khalid hari ini, mereka
menyentuh mengenai pusat hiburan yang beroperasi di Kedah dan beliau
memberi jaminan kerajaan negeri tidak akan bertolak-ansur terhadap pusat
hiburan yang melanggar peraturan.
"Kami
akan sokong segala usaha oleh polis untuk ambil tindakan terhadap
mana-mana premis hiburan yang melanggar undang-undang. Walaupun ada
rayuan kalau terbukti melanggar undang-undang kami sokong tindakan tegas
oleh polis," katanya.
Mengenai
kedudukan Kedah sebagai negeri bersempadan dengan negara jiran, beliau
melahirkan kebimbangannya jika berlaku kes-kes penyeludupan khususnya
yang melibatkan senjata api.
"Saya
faham memang payah nak periksa setiap orang dan kenderaan yang memasuki
sempadan kita. Perlu cara untuk mengelakkan barang-barang tidak
diingini masuk ke negara kita," katanya.
Berkenaan
cadangan Kementerian Dalam Negeri untuk memasang mesin pengimbas di
kawasan pintu masuk negara, Mukhriz berkata pihak kerajaan negeri
mengalu-alukan langkah itu terutama bagi mengekang penyeludupan seperti
senjata api dan dadah.
Sumber: Bernama