Mukhriz Saran MADA Tukar Mentaliti Belia

mada

PENDANG 4 Ogos - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) perlu memikirkan cara terbaik untuk menukar mentaliti golongan muda agar menceburi bidang pertanian, kata Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata ini kerana golongan muda sering berpendapat bahawa bidang pertanian adalah sukar kerana terpaksa bekerja di tengah panas dan tidak mendapat pendapatan lumayan berbanding pekerjaan lain.

"Dengan adanya teknologi terkini seperti jentera membajak, kerja-kerja menguruskan sawah padi sebenarnya menjadi lebih mudah dan hasil yang diperolehi adalah lebih cepat serta lumayan.

"Jika kita lihat di negara luar, sektor pertanian diusahakan di kalangan orang kaya kerana sektor tersebut dapat menjana pendapatan tinggi kepada mereka. Di negara ini rata-rata pesawah yang aktif berusia lebih 60 tahun.

"Program estet padi contohnya sebagai salah satu program bagi memperlihatkan hasil lumayan yang diperoleh oleh pesertanya, sekaligus dapat menarik golongan muda untuk cebur dalam pertanian," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian insentif Estet Padi NKEA EPP 10 Musim 2/2013 Mada di Pertubuhan Peladang Kawasan Mada Kobah di sini hari ini.

Mengenai estet padi, Mukhriz berkata pesawah atau peserta perlu mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan Mada dari segi penanaman padi, pembajaan, jumlah air dan penggunaan racun serangga perosak bagi mendapatkan hasil yang tinggi.

Beliau berkata kegagalan petani mengikuti apa yang disyorkan Mada, menyebabkan hasil yang diperoleh tidak memuaskan disebabkan berlaku serangan serangga perosak serta penyakit padi yang lain.

Pada majlis itu beliau menyampaikan insentif estet padi bagi musim kedua tahun ini berjumlah RM19.8 juta kepada 27 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk diagih kepada peserta yang menyertai program tersebut sejak 2011.

Sumber: Bernama