Kedah Umum Bonus Hari Raya RM500

bonus
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR 4 Ogos - Kerajaan Kedah mengikuti langkah Kerajaan Pusat dalam pemberian bonus menjelang Hari Raya Aidilfitri selepas mengumumkan pemberian sebanyak RM500 seorang bagi kira-kira 7,000 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir yang mengumumkan berita gembira itu berkata, bonus membabitkan jumlah sebanyak RM3.5 juta tersebut akan dibayar dalam masa terdekat iaitu sebelum Hari Raya Aidilfitri.

"Kerajaan negeri akur tentang langkah Kerajaan Pusat dan memutuskan memberi bonus RM500 ini kepada semua penjawat awam.

"Bonus ini akan dibayar dalam minggu ini juga iaitu sebelum Hari Raya," katanya kepada pemberita selepas meninjau Kompleks Pekan Rabu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, kata Mukhriz, kerajaan negeri akan membina semula Kompleks Pekan Rabu tersebut dengan pelbagai kemudahan lebih baik untuk peniaga dan pengunjung.

"Kita sudah mendapat peruntukan untuk tujuan itu dan dalam tempoh satu setengah tahun lagi Pekan Rabu akan berubah kerana bangunan lama akan diroboh dan dibina baharu," katanya.

Sumber: Utusan