Oleh SAHBULAH DARWI
ALOR
SETAR 17 Ogos - Kerajaan negeri akan memastikan keperluan serta
kebajikan rakyat tidak dipinggirkan selain memastikan pelbagai kemajuan
dan segala pembangunan negeri berjalan lancar.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, antara
rancangan itu ialah membina dan menaik taraf jalan-jalan kampung,
membaik pulih jalan taman perumahan, mewujudkan lorong motosikal di
jalan-jalan utama selain memastikan penyelenggaraan dan baik pulih jalan
negeri berjalan mengikut jadual.
"Kerja
membina dan naik taraf ini akan dilaksanakan bagi jalan-jalan kampung
sepanjang 500 kilometer di seluruh negeri. Ini bagi memberi kemudahan
kepada rakyat yang tinggal di kawasan kampung," katanya pada majlis
pelancaran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah di sini semalam.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mukhriz
berkata, kesemua aku janji Barisan Nasional (BN) yang dibuat dalam
Pilihan Raya Umum Ke-13 akan dilaksana dan ditunaikan bagi memastikan
kemakmuran rakyat Kedah tidak terabai.
"Segala
janji yang telah dibuat pada pilihan raya akan kita kotakan bagi
memastikan kesejahteraan, keselesaan dan kemakmuran rakyat Kedah
terjamin.
"Ibu
negeri Kedah akan mengalami perubahan yang ketara apabila diangkat
menjadi Bandaraya Metropolis yang bakal menjadi tumpuan para ilmuwan
melalui penubuhan universiti penyelidikan dan pembangunan (R&D)
berteknologi tinggi," katanya.
Mukhriz
berkata, penubuhan UTC di Kedah merupakan inisiatif Perdana Menteri
bagi memberi kemudahan kepada rakyat sejajar dengan slogan 'Rakyat
Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.
"UTC
kelima di Malaysia ini membolehkan rakyat melakukan segala urusan
harian dengan lebih mudah kerana UTC telah menghimpunkan 32 agensi
Kerajaan Persekutuan, badan berkanun dan swasta serta 11 agensi kerajaan
negeri di bawah satu bumbung," katanya.
Sumber: Utusan