Oleh:NOOR FAIZAL GHAZALI
JERLUN
18 Ogos - Kerajaan Negeri Kedah akan melaksanakan projek mitigasi
banjir dan membaikpulih sungai di negeri itu serta mengindahkan
persekitarannya khususnya berhampiran Bandaraya Alor Setar.
Menteri
Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, aktiviti pembalakan yang
berleluasa di kawasan bukit dan gunung telah menyebabkan sungai-sungai
di Kedah tercemar dan tidak berfungsi dengan baik.
Bagi
tujuan itu menurut beliau, kerajaan negeri memerlukan peruntukan
daripada kerajaan pusat dan dijangka akan mengambil masa selama 10 tahun
untuk siap sepenuhnya.
“Kita
sedang berbincang dengan pihak kerajaan pusat khususnya kementerian
kewangan. Mungkin kita memerlukan belanja yang agak besar dan kita akan
cuba dapat melalui peruntukan tahunan sepanjang projek itu dijalankan
selama 10 tahun.
“Kalau
kita berjaya dalam projek pengindahan sungai ini, saya yakin ia menjadi
satu tarikan pelancong bagi negeri Kedah khususnya bagi Bandaraya Alor
Setar,” katanya pada sidang media ketika hadir ke Rumah Terbuka
Aidilfitri peringkat Dun Ayer Hitam, yang diadakan di Dataran Tuan Haji
Salleh, Padang Sera, semalam.
Mukhriz berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada dua perkara dalam usaha mencapai hasrat berkenaan.
“Saya
perlu lihat kepada kegiatan pembalakan, supaya tidak berada pada tahap
mencemarkan sungai dan keduanya sektor industri. Kita tidak mahu
wujudnya aktiviti membuang sisa-sisa pencemaran ke dalam sungai.
“Tetapi,
kalau boleh saya nyatakan bahawa sungai-sungai di Kedah lebih panjang
dan indah. Kalau kita komited mengindahkan sungai-sungai supaya
berfungsi dengan sepatutnya, saya yakin Bandaraya Alor Setar dapat
menarik ramai pelancong,” katanya.
Tambah
Mukhriz lagi, projek berkenaan akan bermula di muara sungai hingga ke
hulu sungai negeri itu serta membabitkan Jeti Kuala Kedah.
“Projek
mitigasi banjir dan baik pulih sungai ini merupakan antara perkara yang
saya bincangkan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
ketika kunjungan sehari Perdana Menteri ke negeri ini kelmarin.
“Kami
berbincang jenis bantuan kerajaan pusat boleh beri kepada negeri.
Perdana Menteri minta saya mengemukakan permohonan melalui pembentangan
secara langsung kepada beliau untuk pertimbangan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian