Oleh: ROSLINDA HASHIM
14 Ogos 2013
DATUK
Mukhriz Mahathir mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Kedah ke-10
pada 6 Mei 2013, setelah Barisan Nasional (BN) berjaya menawan semula
Kedah dalam PRU13 dengan memenangi 21 daripada 36 kerusi Dun.
Mukhriz
yang juga Adun Ayer Hitam melantik lapan Exco dalam melicinkan
pentadbiran, di mana beliau memegang portfolio Perancang Ekonomi Negeri,
Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Hasil Bumi dan Sumber Asli, Majlis
Tindakan Negeri, Kewangan & Syarikat Milik Kerajaan Negeri.
Sebaik
menggalas tugas sebagai Menteri Besar, Mukhriz menggariskan 14 perkara
utama manifesto BN Kedah dalam buku Akujanji PRU13 untuk direncanakan
sepanjang tempoh lima tahun ini.
Sepanjang
100 hari mengambil alih kepimpinan, Mukhriz dilihat amat serasi terajui
Kedah, malah telah merencana perancangan terbaik untuk melonjak ekonomi
Kedah melalui beberapa transformasi politik, ekonomi dan sosial.
Sebaik BN berjaya rampas kembali Kedah dalam PRU13, apakah pendekatan yang diterapkan dalam pentadbiran untuk menawan kembali sokongan rakyat?
Sebaik BN berjaya rampas kembali Kedah dalam PRU13, apakah pendekatan yang diterapkan dalam pentadbiran untuk menawan kembali sokongan rakyat?
Mukhriz:
Kerajaan BN mengambil pendekatan berhemah sejurus mengambil alih
pentadbiran negeri, di mana kita mengambil alih pemerintahan secara
perlahan tanpa paksaan terhadap mana-mana pihak. Kita tidak drastik
dengan arahkan mana-mana individu meletak jawatan dalam kerajaan, tidak
pernah berdendam dengan pengurusan terdahulu. Saya juga memupuk hubungan
baik dengan pihak pembangkang, pada hari kedua dilantik sebagai Menteri
Besar, saya mengunjungi bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak
di Kedah Medical Centre (KMC) dan turut melawat beliau di Hospital
Pulau Pinang (HPP) sebanyak tiga kali. Saya anggap ini tanggung jawab
saya selaku Menteri Besar baru, mewakili kerajaan negeri menghormati dan
mengambil tahu kebajikan beliau. Saya dapati pendekatan saya ini
diterima baik semua pihak, sama ada Pas mahupun Umno.
Bagaimana penerimaan awal terhadap Datuk sejurus peralihan kuasa?
Mukhriz:
Pendekatan sama juga saya terapkan dalam pentadbiran mahupun perubahan
di peringkat kerajaan negeri, saya tidak akan lakukan perubahan drastik
hingga mencetuskan rasa panik kakitangan khususnya Pegawai Tadbir Negeri
Kedah (KCS). Apa jua perubahan dibuat dengan mengkaji situasi semasa,
sekiranya perlu. Malah dalam minggu pertama sejurus memegang
pentadbiran, saya adakan perjumpaan bersama KCS secara tertutup. Saya
akui kalangan KCS ada yang cenderung politik, ada memihak kepada Umno
dan ada sokong Pas. Itu hak individu, cuma satu pesanan saya, berkhidmat
kepada setiap lapisan masyarakat tanpa pilih kasih dan buang dendam
kerana kita adalah pegawai kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat.
Kepada mereka yang tidak menyokong BN, saya harap jangan cuba sabotaj
kerajaan negeri, sama ada dengan melengahkan kerja atau tidak luluskan
permohonan atau enggan kerjasama dengan ketua jabatan. Ia mudah dibuat
namun beri impak negatif kepada negeri.
Pendekatan
berhemah ini akan saya teruskan pada masa akan datang, kerana kita
sudah lama dibelenggu polemik politik yang memecahbelahkan masyarakat.
Saya harap kedua pihak akan main peranan masing-masing dan elakkan
persengketaan agar tidak jejas kepentingan rakyat.
Kedah
sinonim dengan negeri pertanian dan boleh dikatakan agak terbelakang
berbanding negeri lain, apa perancangan awal Datuk untuk pulihkan imej
selain lonjakan prestasi ekonomi Kedah?
Mukhriz:
Saya orang baru di sini dan tak anggap mempunyai penyelesaian kepada
semua masalah, terutama aspek ekonomi dalam membangunkan Kedah. Saya
juga tiada pengalaman dalam jawatan peringkat negeri sebelum ini, malah
saya akui hubungan dengan kerajaan negeri pun kurang rapat. Namun
sebagai orang baru, ada juga kelebihannya. Saya tidak dibelenggu masalah
terdahulu, saya datang dengan kacamata baru dan tak buruk sangka pada
mana-mana pihak. Perancangan awal saya mahu wujudkan Makmal Transformasi
Kedah (MTK) untuk bawa masuk pakar dalam pelbagai bidang dari dalam
atau luar Kedah. Fikirkan strategi bersama untuk bangunkan Kedah dan
pilih sektor yang wajar diberi tumpuan, contohnya, pertanian,
pelancongan, industri automotif serta getah berteknologi tinggi. Semua
perkara ini sedang diperhalusi untuk menjadikan bandar raya ini
membangun pesat. Kita juga akan tinjau projek-projek jangka pendek,
sederhana dan panjang. Pada masa sama, tidak abaikan tanggungjawab
sosial, di mana projek yang dilaksanakan mesti memberi manfaat kepada
seluruh rakyat Kedah. Untuk jayakan aspirasi ini, aspek pembangunan
modal insan juga diberi perhatian. Saya mahu lihat anak Kedah
berkemahiran tinggi dan menepati permintaan pasaran agar mendapat faedah
daripada pembangunan.
Apakah inti pati perancangan Makmal Transformasi Kedah (MTK)?
Mukhriz:
Perancangan ini meliputi jangka masa lima tahun, dalam usaha kekalkan
BN sebagai pemerintah. Kita juga ada jangka masa 10 dan 15 tahun.
Melalui MTK, saya akan buktikan pada rakyat, ada yang boleh dilaksana
dalam tempoh sepenggal, ada untuk jangka masa panjang. Saya percaya
apabila rakyat pilih BN, itu harapan mereka terhadap kerajaan yang boleh
membawa kebaikan kepada rakyat. Kita perlu ada strategi berkesan selain
berfikir di luar kotak serta memiliki pelaksana yang efisien. Sistem
penyampaian juga mesti mantap untuk elak projek gajah putih atau
sebarang penyelewengan.
Bagaimana pula dengan aspek sosial, budaya, warisan yang banyak diwarisi negeri ini selaku negeri tertua di negara ini?
Mukhriz:
Aspek itu juga tidak akan dilupakan. Kedah sememangnya kaya dengan
unsur sejarah, budaya dan warisan. Saya berhasrat untuk hidupkan semula
bagi tujuan pelancongan, selain mahu anak muda kita mengenali latar
belakang budaya sendiri.
Dengan
cara ini, mereka akan bangga menjadi anak Kedah selain lebih jelas
mengenai jati diri. Sekarang ramai anak Kedah berhijrah untuk cari
kerjaya yang menepati cita rasa, ini suatu kerugian. Selain wujudkan
peluang kerja dan niaga di sini, saya mahu pupuk rasa sayang golongan
muda terhadap negeri ini dan usaha akan dibuat dalam pelbagai cara,
antaranya memperhalusi sejarah negeri di peringkat sekolah. Saya juga
berhasrat kembalikan kegemilangan budaya Kedah, seperti persembahan Mek
Mulung sebagai tarikan baru. Aspek pembangunan pelancongan di Langkawi
mahupun tanah besar juga perlu ada ciri-ciri tersendiri untuk serlahkan
identiti Kedah, contohnya, Lembah Bujang.
Dalam tempoh 100 hari pentadbiran, adakah BN berjaya menunaikan sebahagian janji-janji dalam manifesto pada PRU13 lalu?
Mukhriz:
Matlamat kerajaan negeri adalah untuk tunaikan Akujanji BN, sama ada
cepat atau lambat sahaja. Setiap yang disenaraikan sudah diagih kepada
Exco berkaitan mengikut portfolio masing-masing untuk diperhalusi.
Contohnya, aspek agama yang mahu perkasakan semula sekolah pondok dan
maahad tahfiz, di mana kita sudah salurkan dana. Kita juga akan bagi
keutamaan pada pembangunan Maktab Mahmud yang berjaya lahirkan ramai
ilmuan agama. Bagaimanapun, untuk projek ekonomi ia ambil masa, dan saya
harap dalam tahun pertama ini dapat lancarkan beberapa projek besar,
seperti Bandaraya Getah Kota Putra di Padang Terap. Kita sedang kenal
pasti beberapa syarikat pelabur berteknologi tinggi untuk projek itu.
Pada 22-24 Ogos ini, saya akan mengiringi Perdana Menteri ke Bangkok
untuk jumpa Perdana Menteri Thailand, untuk memperhalusi memorandum
persefahaman yang ditandatangani itu.
Pembinaan litar lumba untuk golongan muda antara janji manifesto yang menjadi tarikan, adakah ia akan menjadi kenyataan?
Mukhriz:
Projek itu masih dalam perbincangan, saya sedang berusaha untuk jalin
kerjasama dengan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) untuk merealisasikan
projek ini. Ini penting kerana mereka ada kepakaran termasuk acara
peringkat kebangsaan yang mungkin boleh memanfaatkan litar baru ini.
Saya akan pastikan projek ini dilaksana secepat mungkin.
Isu
pembalakan dijadikan agenda sebelum PRU13, adakah Datuk akan lebih
selektif berikutan Datuk antara individu yang mendokong gerakan hentikan
pembalakan di Pedu melalui Jaringan Gelombang Merah sebelum ini?
Mukhriz:
Saya kotakan janji di mana isu itu ditangani dengan baik. Alasan
kerajaan terdahulu untuk tebang balak tetapi berselindung di sebalik
bangunkan ladang buah di Pedu, sudah dihentikan. Kita hanya teruskan
pembalakan secara selektif untuk elak pencemaran alam sekitar. Ini yang
kita bangkitkan dalam Akujanji BN PRU13. Pembalakan dalam Tasik Pedu
pernah dibangkitkan oleh BN sebelum ini, namun ia perlu dikaji sama ada
berbaloi untuk diteroka atau sebaliknya. Pokok balak itu ditenggelami
air dan ia tidak menyumbang kepada ekosistem. Kayu bernilai tinggi itu
tetap bertahan walau terendam lama dalam tasik. Jika kos dapat dikawal
ada kemungkinan kita akan kaji. Kedah akan terus mempraktikkan amalan
sebelum ini, di mana pembalakan dibuat secara tender untuk tingkatkan
pendapatan.
Kerajaan negeri berhasrat untuk lakukan transformasi ke arah negeri berteknologi tinggi?
Mukhriz:
Kedah sinonim dengan tanaman padi dan sudah selesa dengan status itu,
namun dari aspek struktur tidak memberi pulangan besar, malah petani
tidak beroleh hasil lumayan. Formula itu perlu diberi nafas baru, adakah
kita berani keluar dari zon selesa? Saya sedar peranan Kedah sebagai
pembekal makanan negara namun ia menjadi faktor menyekat pembangunan
negeri. Perlu cari satu formula baru untuk kedua-duanya tanpa korbankan
mana-mana aspek. Saya juga perlu yakinkan semua pihak untuk buat
perubahan ini.
Adakah ini bermakna tanah sawah akan bertukar status tanah industri?
Mukhriz:
Kita masih ada tanah yang bukan tanah sawah untuk dimajukan sebagai
taman industri, seperti di Bukit Kayu Hitam, di mana 3,000 hektar sudah
dikenal pasti. Perbincangan turut diadakan dengan Lembaga Kemajuan
Pertanian Muda (Mada) untuk kita bangunkan kawasan pinggiran Mada
sekitar 8,000 hektar. Kita akan bangunkan Alor Setar sebagai Bandaraya
Metropolis yang menjadi tumpuan ilmuan dengan wujudnya universiti
Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berteknologi tinggi.
Bagaimana dengan dakwaan Selatan Kedah lebih maju berbanding Utara Kedah?
Mukhriz:
Perbezaan ini wujud kerana kawasan Selatan mengambil manfaat kerancakan
ekonomi Pulau Pinang. Saya akan wujudkan pembangunan riadah di Selatan
untuk tarik rakyat Pulau Pinang untuk melancong ke Kedah. Bagi Utara
yang juga kawasan sempadan juga berpotensi dimajukan, saya yakin apabila
projek Kota Putra dan Kota Perdana Bukit Kayu Hitam dibangunkan,
pertumbuhan ekonomi rancak. Kita akan wujudkan hab logistik untuk kumpul
dan edar produk PKS Kedah ke seluruh negara termasuk eksport ke
Thailand. Kedah Utara bakal alami fasa pertumbuhan pesat namun berbeza
sektor dengan kawasan Selatan.
Apakah perkara paling mencabar dalam tempoh 100 hari mentadbir?
Mukhriz:
Paling sukar ialah untuk ubah pemikiran pelbagai pihak untuk terima
transformasi yang dibawa dalam pentadbiran saya. Transformasi ini bukan
perubahan tetapi yang diharapkan transformasi yang menuntut mereka
keluar daripada zon selesa dan buat keputusan yang akan ubah nasib
secara drastik. Ia perlukan keberanian.
Apa yang dapat Datuk rumuskan sepanjang menerajui Kedah?
Mukhriz:
Saya akui masih dalam proses pembelajaran dan pengalaman di MITI banyak
membantu. Setakat ini ia adalah perjalanan yang menarik. Ada yang
berkata, untuk menawan hati rakyat Kedah mudah sahaja iaitu gunakan
pendekatan mesra dan mudah berkomunikasi untuk menang PRU. Saya sudah
cuba tetapi ia tidak cukup, yang penting perlu tunaikan janji yang
dibuat dalam usaha tingkatkan taraf hidup rakyat. Ini keutamaan saya.
Bukan mudah untuk yakinkan orang untuk buat perubahan. Saya tidak mahu
lihat Kedah terbelakang lagi, saya mahu Kedah pesat membangun dan yakin
ia boleh dilakukan. Saya akan cari peluang terbaik dan teroka potensi
Kedah, anda akan teruja dengan apa yang kita ada kelak. Saya optimis
dalam tempoh lima tahun, Kedah akan berubah wajah!
Sumber: Sinar Harian