Tarif Elektrik: Timbang Sensitiviti Rakyat

tarifelektriklangkawi

LANGKAWI 7 Julai - Kerajaan akan mengkaji dengan terperinci sebelum menaikkan kadar tarif elektrik dengan mengambil kira sensitiviti rakyat terutama golongan berpendapatan rendah, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Kerajaan tidak akan menaikkan tarif itu dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan masalah rakyat, katanya mengulas mengenai dakwaan kononnya kerajaan Barisan Nasional akan menaikkan kadar tarif elektrik selepas pilihan raya umum ke-13 iaitu sebanyak 41 peratus dalam tempoh empat tahun akan datang.

"Perkara itu dibangkitkan dalam laman sosial dan blog seperti 'The Malaysian Insider' pada 7 Dis 2012," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek kabel dasar laut di Pulau Tuba, di sini hari ini. Beliau berkata kerajaan akan menghalusi setiap perkara terutama berkaitan golongan berpendapatan rendah dengan mengambil kira kos bahan mentah bagi menjanakan elektrik.

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata Pulau Tuba akan mendapat bekalan elektrik selama 24 jam dengan pembinaan kabel dasar laut ke pulau itu tidak lama lagi. Katanya pembinaan kabel dasar laut itu yang dijangka menelan belanja RM46 juta dijadual bermula Disember depan, di bawah pengawasan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kerja-kerja pembinaan tapak di Pulau Langkawi dan Pulau Tuba akan dimulakan pada Ogos ini, projek dijangka memberi faedah kepada lebih 3,000 penduduk," katanya. Cadangan pembinaan kabel dasar laut itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat pulau itu tahun lepas. Mahdzir berkata projek pembinaan kabel dasar laut itu merangkumi jarak 4.5 kilometer dari Tanjung Sambar, Langkawi ke Tanjung Pandan, Pulau Tuba akan memberi faedah kepada lebih 600 buah rumah di pulau itu.

"Kita mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri menerusi agensi-agensi di bawahnya termasuk Pejabat Daerah, Pejabat Tanahdan Majlis Perbandaran Bandaraya Pelancongan Langkawi menjayakan projek itu," katanya. Mahdzir yakin projek itu akan meletakkan Pulau Tuba sebagai tarikan destinasi baharu pelancongan selain daripada pulau peranginan Langkawi di samping menarik minat pelabur ke pulau berkenaan.

Sumber: Bernama