Atasi Segera Masalah Banjir Langkawi - Shahidan

banjirlangkawi
LANGKAWI 7 Julai - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mahu punca kepada kejadian banjir di daerah ini dikenal pasti bagi membolehkan masalah itu diatasi segera.

Beliau berkata, langkah itu juga bertujuan mengelak perkara sama berulang selain meminimumkan kesan kerosakan dan kemusnahan yang berlaku. "Kita akan kenal pasti punca banjir ini berlaku dan selepas itu masalah tersebut akan segera diatasi," katanya selepas lawatan kerja meninjau kawasan banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Sungai Kedak di sini hari ini. Yang turut hadir Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad.

Dalam tinjauan itu, Shahidan meluangkan masa melawat Pasar Awam Padang Matsirat dan beramah mesra dengan peniaga di situ serta melawat keluarga mangsa di Kampung Sungai Kedak bersama-sama sukarelawan. Sementara itu, salah seorang penduduk, Saad, 56, berkata, keadaan banjir yang berlaku sangat merisaukan kerana kampung Sungai Kedak itu adalah antara kawasan paling teruk dinaiki air.

"Kampung ini dinaiki air antara satu hingga dua meter. Bukan sahaja rumah dimasuki air tetapi bendang dan tanaman penduduk juga rosak. "Kami berharap supaya kerajaan segera mengatasi masalah ini dan kejadian yang sama tidak berulang," katanya.

Sumber: Utusan